APA PUNCA KEMEROSOTAN PASUKAN SARAWAK MUSIM INI?

APA PUNCA KEMEROSOTAN PASUKAN SARAWAK MUSIM INI?


LOMPAT: Penyerang Sarawak, Hudson Dias melompat tinggi mendada bola pada aksi terakhir Liga Premier menentang Selangor United di Stadium Sarawak, Petra Jaya malam kelmarin.

Kombinasi pemain import kurang berkualiti dan pemain muda tempatan kurang berpengalaman menjadi penyumbang kepada prestasi merosot Sarawak musim ini sehingga membawa kepada penyingkiran skuad itu daripada saingan Liga Premier musim depan.

Pemangku Jurulatih, Mohammad Denny Da’ail menjelaskan tidak seperti pasukan-pasukan lain, Sarawak seringkali menurunkan hanya dua pemain import yang boleh digunapakai dalam kebanyakan perlawanan.

“Memang kita ‘struggle’ musim ini dengan pemain-pemain muda dan pemain import ‘ala kadar’. Banyak sangat perlawanan kita bermain dengan dua pemain import sahaja dan mereka tidak dapat membantu malah satu kerugian kepada pasukan kita.

“Pemain-pemain muda kita menunjukkan semangat dan kegigihan. Mereka berjaya bersaing cuma pendedahan agak kurang,” kata Mohd Denny ketika ditemui selepas berakhir perlawanan Liga Premier 2019 antara Sarawak dan Selangor United di Stadium Sarawak, Petra Jaya malam kelmarin.

 Baca:

Penyerang berbisa Sabah U19 dapat panggilan skuad B18 kebangsaan
Selamat kembali ke Liga Super 2020 Sang Badak!
Sabah FA dapat geran Rm 1 juta dari MFL
Sabri Sahar bintang makin menyinar

Penamat terbaik di Stadium Likas
Kejayaan bola sepak Sabah untuk seluruh rakyat Sabah

Di sebalik kemerosotan itu, Mohd Denny melihat potensi cerah beberapa pemain muda musim ini untuk dikekalkan dalam pasukan Sarawak pada musim depan.

“Tahun ini kita hendak membentuk ‘tulang belakang’ pasukan dan saya sudah nampak pemain-pemain bayangan untuk dikekalkan. Sudah tentu pemain-pemain terbabit masih memerlukan penambahbaikan,” katanya.

Beliau juga tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa selepas Sarawak tersingkir daripada Liga Premier musim depan namun berikrar akan memastikan pasukan itu bangkit semula selepas ini.

Sarawak menamatkan kempen Liga Premier 2019 menewaskan Selangor United dengan 3-1 pada aksi terakhir malam kelmarin. Bagaimanapun, ia tidak cukup untuk menyelamatkan pasukan Ngap Sayot itu tersingkir daripada saingan musim depan.

Ini berikutan pesaing terdekat, Kelantan yang berkelebihan satu mata turut mencatatkan kemenangan menewaskan UKM FC dengan 2-0 di Kota Bharu malam kelmarin.

Sarawak mengumpul 16 mata daripada empat kemenangan dan empat seri manakala Kelantan mengutip 17 mata juga dari empat kemenangan dan lapan seri selepas kedua-duanya mengharungi 20 perlawanan.


----- UTUSANBORNEO

Post a Comment

0 Comments