Kejayaan pasukan bola sepak Sabah untuk rakyat Sabah

PETER Anthony dan para pegawai Safa meraikan kejayaan menjuarai Liga Perdana 2019 bersama skuad Tambadau selepas menewaskan UiTM FC 2-1 di Stadium UiTM Shah Alam pada Selasa malam.

Kejayaan pasukan bola sepak Sabah untuk rakyat Sabah



Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Peter Anthony berkata kejayaan Tambadau Sabah menjulang gelaran juara Liga Premier musim ini adalah kemenangan untuk rakyat Sabah.

Skuad Tambadau dinobatkan sebagai juara selepas menumbangkan UiTM FC 2-1 di Stadium UiTM Shah Alam, Selasa untuk mengumpul 40 mata iaitu jumlah yang tidak mampu lagi dicapai pasukan lain.
Gelaran juara itu menjangkaui sasaran awal layak ke Liga Super yang sudahpun mereka kotakan selepas menumpaskan JDT II 1-0 di Stadium Pasir Gudang, Jumaat lalu.

Kejayaan itu dicapai ketika Tambadau Sabah masih berbaki dua perlawanan. Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata, kejayaan itu mengubati kerinduan tujuh tahun aksi Sabah dalam Liga Super dan menamatkan penantian 23 tahun trofi juara.

Katanya, kejayaan yang membuka lembaran baru sejarah bola sepak Sabah berkenaan adalah berkat usaha gigih semua termasuklah pengurusan, pegawai, barisan jurulatih, pemain dan penyokong.

"Kita memulakan saingan dengan keputusan yang tidak begitu baik namun berkat kerjasama semua pihak termasuklah pengurusan, pegawai, barisan jurulatih, para pemain dan juga penyokong telah merealisasikan impian ini.


"Saya juga sangat gembira kerana kita bukan saja mencapai matlamat utama pada musim ini iaitu layak ke Liga Super musim depan tetapi juga berjaya menjadi juara," katanya.

Peter berkata, skuad Sabah sewajarnya menerima ganjaran atas usaha gigih yang telah membuahkan hasil di luar jangkaan itu.

"Ya sudah pasti kita akan memberikan sesuatu ganjaran kepada pasukan, namun ianya akan diumumkan sendiri oleh Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal), Sabtu ini, iaitu pada perlawanan seterusnya bertemu Kelantan di Stadium Likas.

"Pada hari berkenaan juga, saya difahamkan trofi Liga Perdana akan diterbangkan ke Likas dan selepas itu kita akan tahu bentuk ganjaran yang akan diumumkan," katanya ketika ditemui, Selasa.

Sementara itu, Peter berkata, beliau akan memastikan pasukan itu bersiap sedia sepenuhnya bagi menghadapi saingan Liga Super termasuklah dari segi perbelanjaan.

"Kami akan berusaha untuk mencari penaja dan mempersiapkan pasukan sebaik mungkin kerana kita sedar saingan Liga Super sangat mencabar.

"Bagaimanapun kita akan fokus dulu untuk habiskan dua baki perlawanan Liga Perdana seterusnya saingan Piala Malaysia akan datang di mana kita mensasarkan sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir," katanya.



Sumber: Utusanborneo

Post a Comment

0 Comments