Pasukan Sabah harus menang untuk kekal sebagai pencabar utama Liga Premier 2019

Pasukan Sabah harus menang untuk kekal sebagai pencabar utama Liga Premier 2019



Pemain Tambadau Sabah semasa sesi pemanasn badan sebelum latihan di Stadium Likas pada Khamis.

Hanya kemenangan pilihan terbaik Tambadau Sabah untuk terus menjadi pencabar utama kedudukan teratas Liga Premier apabila berhadapan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang malam ini (sepak mula 10.00 malam).

"Kami sebenarnya hanya ada satu pilihan iaitu `menang' jika mahu terus menjadi pencabar utama Liga Premier. Saya fikir ini cukup sebagai motivasi buat kami memburu kemenangan esok (malam ini).
"Bukan tugas mudah kerana persaingan semakin sengit dan Pulau Pinang juga sedang menikmati kebangkitannya. Sebab itu kami perlu berikan yang terbaik dengan harapan akan dapat hasil yang positif juga," kata ketua jurulatih Jelius Ating ketika dihubungi, Jumaat.

Katanya, dengan jarak pasukan tidak ketara, kemenangan malam ini penting kerana ia mungkin boleh menjadi penentu kedudukan pasukan di akhir saingan nanti.

"Tekanan itu ada juga tetapi ia hanya menyemarakkan semangat kami mengharungi perlawanan ini dan saya percaya pemain kita juga sudah bersedia," kata Jelius.

Beliau membayangkan akan menggunakan kesebelasan biasanya dengan kekuatan empat import iaitu dua pemain lama, Park Tae Su (pertahanan) dan Rodoljub Paunovic (penyerang) serta Ahmet Atayev (pemain tengah) dan Aguinaldo Mendes (penyerang) yang baru diserapkan minggu lalu.

Ia adalah penampilan kedua Ahmet dan Mendes selepas membantu Tambadau Sabah menang 1-0 ke atas UKM FC pada penampilan pertama mereka di Cheras, Kuala Lumpur minggu lalu.

Gol tunggal kemenangan Tambadau Sabah itu dijaringkan Mendes walaupun penyerang dari Angola itu dikatakan belum cergas sepenuhnya.

"Mendes masih belum cergas sepenuhnya tetapi dia boleh memainkan peranan penting dan kita akan cuba manfaatkannya walaupun mungkin tidak sepenuh masa permainan.

"Apapun, kunci kekuatan kami adalah bermain sebagai satu pasukan. Kita akan cuba satukan kelebihan yang dimiliki setiap pemain untuk jadi satu `senjata pemusnah'," katanya.
Jelius juga mengalu-alukan kehadiran semula pertahanan kanan, Randy Baruh yang telah melunaskan penggantungan satu permainan.

Randy dijangka mengambil semula posisinya yang diisi Dendy Lowa sebelum ini dan akan bergandingan dengan ketua pasukan Rawilson Batuil, Park dan Evan Wensley di pertahanan manakala Rozaimie Rohim selaku penjaga gol utama.

Bahagian tengah pula dijangka akan digerakkan gandingan Ahmet, Mohd Azizan Nordin, Alto Linus dan Jenius Karib manakala jentera penggempur disandarkan kepada gandingan Mendes dan Paunovic.

Turut berada dalam senarai 18 pemain ke Pulau Pinang ialah Robson Rendy Rining, Mafry Balang, Dendy Lowa, Ricco Nigel Milus, Mohd Azwan Abd Fattah, Ummareng Bacok dan Mazlan Yahya.

Sebagai rekod, pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Likas pada pusingan pertama berpihak kepada Tambadau Sabah dengan kemenangan 2-0.

Perkembangan terkini bagaimanapun menyaksikan Tambadau Sabah mencatat tiga kemenangan berturut-turut manakala Pulau Pinang dua kali berturut-turut termasuk yang terakhir mengalahkan JDT II 2-0 di tempat lawan.

Tambadau Sabah kini di kedudukan ketiga dengan 24 mata manakala Pulau Pinang di tangga ketujuh dengan 15 mata.

Dua lagi perlawanan Liga Premier yang berlangsung malam ini ialah Sarawak menentang JDT II dan Terengganu FC II menentang Kelantan manakala dua perlawanan berlangsung semalam itu Negeri Sembilan menentang UKM FC dan UiTM FC menentang Selangor United.

Post a Comment

0 Comments