Tambadau yakin naik Liga Super musim depan

Tambadau yakin naik Liga Super musim depan



PETER ANTHONY
Skuad Tambadau Sabah boleh menentukan nasibnya sendiri bagi merealisasikan sasaran naik ke Liga Super musim depan.

"Lapan baki perlawanan akan jadi penentu tetapi kami kini di kedudukan boleh menentukan nasib sendiri untuk realisasikan sasaran naik ke Liga Super musim depan.
"Kalau dapat kutip cukup mata dari baki lapan perlawanan itu, kami tidak perlu risaukan pasukan lain," kata Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) Datuk Peter Anthony ketika dihubungi, di sini.

Sehubungan dengan itu, Peter mahu pemain kekal fokus dan sentiasa ada sifat dahagakan kemenangan dalam setiap perlawanan.

"Kita tahu saingan akan bertambah sengit terutama dengan jarak antara pasukan di kelompok teratas tidak jauh. Sebab itu amat penting untuk setiap pemain sentiasa mempunyai sifat dahagakan kemenangan.
"Saya mahu pemain menganggap setiap perlawanan umpama perlawanan akhir. Apapun, saya yakin dengan kemampuan skuad kita ini. Pengurusan, barisan jurulatih dan pemain telah melakukan tugas dengan baik dan hanya perlu meneruskannya dengan konsisten," katanya.

Tambahan pula katanya, Safa juga telah berusaha memantapkan lagi pasukan dengan membawa masuk dua import baharu, Aguinaldo Mendes (penyerang) dan Ahmet Atayev (pemain tengah) menggantikan Luka Milunovic dan Luiz Carlos Junior.

Kedua-dua import baharu itu telah membuat penampilan pertama membantu Tambadau Sabah menang 1-0 ke atas UKM FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras minggu lalu. Kemenangan itu memberikan mata ke-24 untuk Tambadau Sabah berada di kedudukan ketiga tetapi kurang satu perlawanan berbanding Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dan UiTM FC yang hanya satu dan dua mata di atas Sabah.

UiTM FC kini mendahului dengan 26 mata dan JDT II 25 mata di tangga kedua manakala turut memberi saingan sengit untuk dua kedudukan teratas yang diperuntukkan ke Liga Super ialah Terengganu FC II yang telah mengumpul 22 mata di tangga keempat.

Ancaman juga masih boleh dihadirkan Negeri Sembilan yang telah mengumpul 19 mata di tangga kelima dan PDRM, Pulau Pinang serta Selangor United yang masing-masing telah mengumpul 15 mata.

Tambadau Sabah akan meneruskan cabaran menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Sabtu ini (25 Mei) sebelum kembali bertarung di gelanggang sendiri melayani kunjungan Negeri Sembilan di Stadium Likas pada 15 Jun.

Post a Comment

0 Comments