Manchester City beli PJ City?

JOHOR BAHRU 22 MEI 2019. Pengerusi Malaysia Football League (MFL), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada sidang media, di Johor Bahru. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM.

Manchester City beli PJ City?

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membayangkan laporan juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City untuk membeli sebuah pasukan Liga Malaysia adalah tidak benar. Pemilik Johor Darul Ta‘zim (JDT) itu menerusi Instastory semalam berkongsi satu paparan mesej WhatsApp antaranya dengan individu dikenali ‘Tincho 2’ yang mengatakan isu itu sengaja diperbesarkan.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan skuad The Citizens berminat untuk membeli sebuah kelab tempatan hasil daripada pertemuannya dengan delegasi diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) City, Ferran Soriano. Menerusi perkongsian Instastory TMJ tertulis: “Ferran memberitahu ia sengaja diperbesarkan. Dia datang ke KL untuk bertemu penaja sebagai penghargaan di atas kenyataan diberikan menteri.

“Memang mereka menaruh minat terhadap Malaysia sama seperti negara lain, tetapi mereka tidak berminat untuk membeli mana-mana kelab,” kata petikan yang dikongsi Tincho 2 kepada TMJ.

Menariknya petikan itu dipanjangkan olehnya kepada TMJ selepas mendapat hantaran daripada individu bernama ‘Laporta Papa’. Difahamkan, Tincho 2 adalah antara salah seorang pegawai pasukan JDT. Menerusi laporan BH Sukan semalam nama pasukan Liga Super, Petaling Jaya City FC (PJ City FC) hangat diperkatakan sebagai pilihan untuk dibeli oleh City walaupun Soriano tidak menyatakan dengan tepat kelab mana yang menjadi pilihan.

Begitupun, spekulasi itu bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan PJ City sebelum ini yang dikenali sebagai MIFA sudah diambil alih oleh QI Group yang menjadi rakan strategik City. Dan anak syarikat mereka, QNET turut menjadi penaja utama pasukan Liga Super yang berpangkalan di Lembah Klang itu.

Post a Comment

0 Comments