Nicolas Pepe milik Arsenal


Nicolas Pepe. - Foto AFP

Arsenal mengumumkan pembelian pemain sayap, Nicolas Pepe dari kelab Perancis, Lille yang memecahkan rekod perpindahan pasukan itu dengan harga mencecah £72 juta (RM362.36 juta).

Nicolas Pepe milik Arsenal


Pembelian pemain berusia 24 tahun itu mengatasi rekod Arsenal sebelum ini £56 juta (RM281.83 juta) ketika mendapatkan penyerang, Pierre-Emerick Aubameyang pada Januari 2018.

Pepe juga menjadi pemain Afrika termahal dan pemain keempat termahal dalam sejarah Liga Perdana selepas gandingan Manchester United, Paul Pogba (£89 juta - RM447.91 juta) dan Romelu Lukaku (£75 juta - RM377.46 juta) serta pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk (£75juta - RM377.46 juta).

Pemain itu, yang akan menggunakan nombor jersi sembilan akan meningkatkan kekuatan Gunners di bahagian serangan sekali pun gandingan Aubameyang dan Alexandre Lacazette meledak 50 gol dalam semua kejohanan musim lalu.

Tempoh perjanjian berkenaan tidak diumumkan tetapi dipercayai selama lima tahun.

Pengurus Arsenal, Unai Emery berkata: "Nicolas adalah pemain yang bernilai tinggi serta pemain sayap yang amat berbakat yang menjadi buruan banyak pasukan utama di Eropah.

“Menandatangani pemain sayap berkelas dunia adalah salah satu objektif kami ketika perpindahan dan saya gembira dengan kehadirannya. Dia akan meningkatkan kepantasan, kekuatan dan kreativiti dengan sasaran memberi lebih banyak gol kepada pasukan.”

Pepe yang meledak 22 gol dalam Ligue 1 musim lalu dikaitkan dengan beberapa kelab termasuk Man United dan Napoli.

Dia berada di belakang penyerang Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe dalam carta penjaring Ligue 1 ketika Lille menamatkan saingan liga di tangga kedua dan layak ke Liga Juara-Juara.

“Berada di sini amat emosi untuk saya kerana ia bukan mudah,” kata Pepe. “Saya mengharungi perjalanan yang panjang dan turut bergelut jadi bermain untuk kelab hebat ini adalah satu penghargaan.” - AFP

Post a Comment

0 Comments