Harry Maguire ke Man United


PERTAHANAN tengah, Harry Maguire. - Foto REUTERS

Manchester United mencapai persetujuan dengan Leicester City untuk menandatangani pertahanan tengah, Harry Maguire dengan yuran perpindahan bernilai 80 juta pound (RM405.48 juta), lapor media British.

Harry Maguire ke Man United


Jika perpindahan itu berjaya dilaksanakan, Maguire akan menjadi pertahanan termahal di dunia sekali gus mengatasi rekod sebelum ini yang dipegang Virgil van Dijk ketika Liverpool mengeluarkan belanja 75 juta poud (RM380.14 juta) bagi mendapatkan khidmatnya dari Southampton, tahun lalu.

Maguire juga akan menjadi pemain kedua termahal di Old Trafford selepas pemain tengah, Paul Pogba yang tiba ke kelab itu dengan harga memecah rekod dunia, 89 juta pound (RM451.10 juta) dari Juventus pada 2016.

Pemain kebangsaan England berusia 26 tahun itu, yang menandatangani kontrak lanjutan di Leicester sehingga 2023 tahun lalu bermain sebanyak 31 kali dalam kempen Liga Perdana musim lalu dan meledak tiga gol.

Pengurus Leicester, Brendan Rodgers berkata juara Liga Perdana 2016 itu sudah menolak dua bidaan bulan lalu kerana ia tidak memenuhi permintaan kelab berkenaan.

“Kelab tidak berubah dari sudut terma penilaian bagi pemain berkenaan,” kata Rodgers kepada BBC, semalam. “Saya tetap tenang mengenainya.” - Reuters

Post a Comment

0 Comments