Mohon dua skim pinjaman mudah pekebun kecil sawit



Pekebun kecil persendirian yang mahu melaksanakan penanaman semula kelapa sawit boleh memohon dua skim pinjaman mudah mulai 15 Ogos ini dalam usaha membantu meringankan beban kewangan mereka.

Mohon dua skim pinjaman mudah pekebun kecil sawit


Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Skim Pinjaman Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS) itu membabitkan peruntukan dana sebanyak RM550 juta.

Skim pinjaman TSPKS dijangka memberi manfaat kepada 7,000 dan 10,000 pekebun kecil dengan anggaran keluasan tanaman berjumlah 50,000 hektar.

IPPKS pula dapat memberi manfaat kepada seramai 3,000 hingga 5,000 pekebun kecil sawit dengan anggaran keluasan kawasan tanaman berjumlah 20,000 hektar.

"Pihak kementerian telah menyediakan aspek seperti skop pinjaman, syarat permohonan dan pelaksanaan, proses kerja serta peruntukan bagi pelaksanaan skim ini.

"Pekebun kecil yang menepati syarat permohonan boleh memohon skim ini yang bertujuan meringankan beban kewangan mereka," katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen di hari ini.
Mengulas selanjutnya, beliau berkata pinjaman tersebut boleh dipohon mengikut keluasan kawasan penanaman dengan nilai pinjaman bagi TSPKS adalah RM10,000 sehektar dan had maksimum keluasan adalah 6.5 hektar atau RM65,000.

"Tempoh pinjaman itu adalah sehingga 12 tahun termasuk penangguhan bayaran balik pinjaman bagi tempoh empat tahun pertama.

"Nilai pinjaman IPPKS pula tidak melebihi RM2,500 sehektar dan had maksimum keluasan adalah 6.5 hektar sahaja atau RM16,250 dengan tempoh pinjaman sehingga 24 bulan," katanya.

Pada April lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah mengumumkan dana pinjaman mudah bernilai RM550 juta bagi penanaman semula sawit dengan kadar faedah rendah sebanyak 2.0 peratus setahun.

- Bernama

Post a Comment

0 Comments