Nasib pasukan Sabah U21 di hujung tanduk

EBBY ROY

Skuad bawah 21 tahun Tambadau Sabah hanya perlu fokus kepada usaha mendapatkan kemenangan pada perlawanan terakhirnya menentang Pulau Pinang dalam saingan Kumpulan A Piala Presiden di Padang A USM, Pulau Pinang hari ini.

Nasib pasukan Sabah U21 di hujung tanduk


"Kami perlu dapatkan kemenangan supaya ada kapisiti melihat peluang ke pusingan suku akhir di mana kita mengharapkan UiTM FC tewas di tangan JDT III di Stadium UiTM, Shah Alam. UiTM hanya perlu seri untuk layak tetapi ia tidak perlu difikirkan... kami hanya perlu fokus kepada usaha memburu kemenangan... ini tugas kami esok (hari ini).

"Keputusan seri pun memadai jika UiTM tewas kerana kami (Sabah) ada kelebihan jaringan... tetapi kalau kami tewas peluang ke suku akhir tertutup walau apapun keputusan perlawanan antara UiTM dan JDT III," kata pengurus pasukan Ebby Roy Raymond ketika ditemui di sini pada Ahad.


Sabah dan UiTM yang berjarak satu mata bersaing dapatkan baki satu tempat ke suku akhir yang diperuntukkan kepada empat pasukan teratas.

Tiga tempat ke suku akhir sudah dimiliki JDT III yang telah mengumpul 35 mata di tangga teratas, PJ City FC (32 mata) dan Selangor (31 mata).

Ia meninggalkan baki satu tempat menjadi rebutan antara UiTM yang kini di kedudukan keempat dengan 28 mata dan Sabah ditangga kelima dengan 27 mata.

Baca:
Semangat "biar tunduk asal menanduk"

"Saya harap percaturan kami menjadi. Saya percaya barisan jurulatih yang diketuai Justin Ganai sudah ada perancangan terbaik memburu kemenangan yang diperlukan.

"Saya gembira dengan suasana dalam pasukan. Pemain juga begitu bersemangat. Saya harap nasib juga berpihak kepada kami," katanya.

Sambil itu, Justin dijangka akan mengerahkan pasukan melakukan serangan habis-habisan.


"Perancangan kami memang untuk menyerang dari awal sehingga mendapat jaringan. Tiada pilihan lain kecuali menang... pemain tahu apa yang dituntut daripada mereka dan faham dengan situasi dihadapi pasukan.

"Saya harap perancangan kami menjadi terutama dengan adanya semua pemain terbaik membarisi kesebelasan utama," kata Justin.

Tugas penjaga gol utama terus disandarkan kepada Joslan Aping manakala pertahanan dibarisi Mohd Izzat, Abdul Hanafie Tokyo dan Gerald Gadit.

Ketua pasukan Mohd Aidil Safee akan mengemudi bahagian tengah bersama Mohd Shukri dan dibantu Suhaizan Nazmie dan Zulkifly Harun di kedua-dua sayap manakala jentera serangan disandarkan kepada gandingan Hamran Peter dan Arius Dius Jais.

Turut dalam senarai 18 pemain adalah Nevile Remen, Hasrul Nizam, Syahmil Nizam, Mohd Zaki Sapri, Eddey Ladius, Faizulnizam Aziz dan Shariman Mukarim.

Sebagai rekod, pertemuan pada pusingan pertama di Stadium Likas, Mac lalu berpihak kepada Sabah dengan kemenangan 2-0.





---- UTUSANBORNEO

Post a Comment

0 Comments