Jenip Gubal muncul johan pertandingan `manangon' (pengisahan cerita rakyat) 

Jenip Gubal muncul johan pertandingan `manangon' (pengisahan cerita rakyat) 



JENIP juara manangon.

Jenip Gubal muncul johan pertandingan `manangon' (pengisahan cerita rakyat) terbuka anjuran SK Delayan Tulid Sook, kira-kira 25km dari sini, anjuran bersama PIBG dan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, Perak.

Guru Besar SK Delayan Sabli Lasimon @Rasimun berkata program itu bertujuan membangkitkan semangat generasi masyarakat asal Sabah untuk mencintai bahasa ibunda.

“Program itu juga diharapkan dapat memberi pendedahan kepada kalangan murid dalam suasana berbahasa ibunda kerana ramai generasi masa kini yang mencampuradukkan bahasa dalam pertuturan,” katanya.

Beliau berkata pertandingan itu juga bertujuan memperdengarkan cerita rakyat kepada generasi muda untuk mendekati pengisahan lampau dalam usaha melestari dan membukukan cerita lama.

Seramai 10 peserta memperdengarkan cerita rakyat (tangon) mereka pada Selasa di mana 14 cerita dikumpulkan penganjur untuk pembukuan.

Menyusul di tempat kedua ialah Suriyateh Misaran dan tempat ketiga Sain Layagan. Seramai lima pelajar dari UPSI bersama pembimbing Dr Rosliah Kiting hadir sama dalam program itu.

Pertandingan itu dirasmikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sook Edward Binbbang. Hadir sama ialah Jebin Taimin, pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah Keningau.

Program berkenaan juga mencungkil bakat dan kreativiti bercerita rakyat mengikut pengisahan asli dalam menghayati cerita dongeng, karya tradisional dan hasil karya sendiri. Pengerusi PIBG Shirley Joe Doukin menyifatkan program itu dapat membantu mempelajari bahasa ibunda serta memperbetulkan penggunaan tatabahasa.

“Program ini juga dapat memberi ruang kepada murid-murid untuk menghargai tradisi lisan dan seterusnya memekarkan bahasa bagi mengelak kepupusan,” katanya.

Dianah Ellin, guru di sekolah itu, berharap program berkenaan dapat membantu memartabatkan bahasa ibunda di samping memperkaya kosa kata dalam pembelajaran bahasa itu di sekolah.

Beliau juga berharap program itu dapat merangsang penggunaan bahasa ibunda di rumah agar mekar sepanjang masa.

Seorang lagi guru, Ho Yi Shen berharap program itu dapat mempertingkatkan penggunaan bahasa ibunda dalam kalangan murid dalam pertuturan bersama ibu bapa.

---- UTUSANBORNEO

Post a Comment

0 Comments