Peter Anthony yakin Sabah mampu buat kejutan saingan Piala Malaysia 2019

Peter Anthony yakin Sabah mampu buat kejutan saingan Piala Malaysia 2019



PETER ANTHONY

Skuad Tambadau Sabah akur mereka bukan pasukan pilihan tetapi yakin mereka mampu buat kejutan dalam saingan Piala Malaysia.

"Sabah diundi memulakan cabaran dalam Kumpulan C yang dikategorikan sebagai kumpulan maut kerana ia dianggotai juara bertahan Perak dan juara Piala FA musim lalu Pahang selain salah satu pesaing utama Liga Premier musim ini, Pulau Pinang.

"Kita hormati semua lawan. Perak...Pahang adalah pasukan elit dan merupakan pasukan Liga Super yang sudah pasti ada kelebihan.... tetapi kita akan cuba yang terbaik," kata Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Peter Anthony ketika ditemui di sini pada Rabu.

Beliau berkata, slogan musim ini `Biar Tunduk Tapi Menanduk' yang telah menjelmakan gelaran juara Liga Premier adalah falsafah yang akan terus dipegang bagi mengharungi saingan Piala Malaysia.

Baca:
Labuan juara bolasepak Paralimpik
Sabah dalam Kumpulan C yang sukar

Mengenai harapan lebih besar penyokong dalam kempen Piala Malaysia yang terbit dari status selaku juara Liga Premier musim ini, Peter berkata, ia adalah beban tekanan tetapi beliau menerimanya sebagai cabaran baru.

Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur berkata, beliau sedar bahawa penyokong pasti inginkan Tambadau menjelmakan sesuatu dalam Piala Malaysia terutama Sabah belum pernah menang Piala Malaysia.

"Saya sedia menyahut cabaran itu kerana saya percaya dalam bola sepak apapun boleh berlaku. Kita sendiri telah melakukannya dalam saingan Liga Premier. Kita bukan pasukan pilihan untuk naik ke Liga Super dan bermain di Piala Malaysia tetapi akhirnya kita membuktikan bahawa dengan usaha dan kesepakatan semua, kita berjaya melakarkan keajaiban muncul sebagai juara Liga Premier.

"Kita akan cuba yang terbaik dalam saingan Piala Malaysia ini dengan sasaran awal sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir," katanya.
Peter berkata, usaha sudah dan akan dilakukan bagi memantapkan lagi persiapan pasukan termasuk mengadakan perlawanan persabatan dengan pasukan Liga Malaysia di Semenanjung sebelum sepak mula Piala Malaysia.

Berdasarkan carta awal, Sabah dijadualkan akan memulakan cabaran menentang Pulau Pinang di Stadium Likas pada 3 Ogos.

"Saya sebenarnya telah meminta pengurusan mengatur perlawanan persahabatan di Korea tetapi malangnya negera itu sibuk dengan liga mereka. Begitu juga di Indoensia dan Filipina.

"Oleh itu saya memutuskan Tambadau akan mendapatkan perlawanan pemanas badan dengan pasukan Liga Malaysia di semenanjung sahaja," katanya.

Menurutnya, perlawanan pemanas badan itu sebagai pelengkap persiapan sahaja kerana pasukan memang pun sudah bersedia sepenuhnya.

"Pemain sudah serasi kerana kita baru menamatkan saingan Liga Premier. Semua pemain juga berada dalam keadaan baik.

"Piala Malaysia ini adalah satu lagi peluang untuk membuktikan diri dan kita tidak akan sia-siakannya seperti mana dalam saingan Liga Premier.

"Kita akan pastikan pasukan dapat menunjukkan bahawa Sabah boleh menjadi salah satu pasukan digeruni dalam Liga Malaysia," kata Peter.



--- UTUSANBORNEO

Post a Comment

0 Comments