Hanya RM1.90 bagi setiap menu

KUANTITI yang sedikit selain harganya murah di kafe 'Moh Makan @1.90'. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Hanya RM1.90 bagi setiap menu


Ketika ramai mengeluh dengan isu kenaikan kos sara hidup, sebuah kafe di Jalan Taiping, dekat Talang, di sini, menjual pelbagai makanan dan minuman dengan harga rendah iaitu RM1.90 bagi setiap menu.

Inisiatif Kafe 'Moh Makan@1.90' diusahakan dua beradik, Farhana Akasha Zaharin, 19 dan Muhammad Fariezuan Daniel Zaharin, 17, semakin menjadi buah mulut apabila lebih 20 jenis hidangan disediakan dijual dengan harga murah itu.

Selain juadah biasa, kafe yang turut menggabungkan konsep butik pakaian itu turut menawarkan menu ayam stim air asam, nasi impit dan pasta, dengan mee kari ayam dan pasta wok-wok antara pilihan utama pelanggan.

Farhana Akasha berkata, Moh Makan@1.90 dibuka sejak tiga bulan lalu berikutan minatnya terhadap bidang masakan dan alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan.


Kafe 'Moh Makan@1.90' diusahakan dua beradik, Farhana Akasha Zaharin dan Muhammad Fariezuan Daniel Zaharin. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
"Harga yang rendah bagi setiap menu menjadi tarikan utama....berikutan harganya murah, pelanggan dapat menikmati pelbagai hidangan, berbanding di tempat lain," katanya ketika ditemui di kafenya, di sini.

Beliau yang dibantu dua pekerja lain, mengakui ada juga pelanggan yang mengadu saiz makanan dihidangkan agak sedikit, namun tegasnya dia sengaja berbuat demikian supaya dapat menjual makanan dengan harga lebih rendah.


SUASANA luar kafe 'Moh Makan @1.90' yang menggabungkan konsep butik dalam kafe. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Katanya, dirinya menerapkan konsep pelanggan pesan berulang sama ada bagi menu sama atau berlainan, sekali gus dapat memenuhi citarasa pelanggan.

"Ada pelanggan yang mahu merasai pelbagai menu atau hidangan dalam satu-satu masa, selain ada yang mengamalkan rutin diet bagi menjaga kesihatan mahupun mendapatkan potongan badan yang ideal.

"Konsep seperti ini (hidang menu dalam kuantiti kecil) bukan sahaja dapat menggalakkan amalan berjimat, malah boleh mengelak berlaku pembaziran," katanya.


DEKORASI kafe 'Moh Makan @1.90' yang diusahakan Farhana Akasha Zaharin (kiri) dan adiknya, Muhammad Fariezuan Daniel Zaharin yang bercirikan butik pakaian. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Suntikan modal dan tunjuk ajar bapa


Mengulas lanjut, Farhana Akasha berkata dia mendapat tunjuk ajar serta suntikan modal daripada bapanya yang pernah bekerja sebagai pengurus perjamuan (bankuet) di sebuah hotel lima bintang terkemuka di ibu negara.

"Berikutan keputusan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang saya peroleh tahun lalu sekadar 'cukup makan' dan persaingan mendapatkan pekerjaan lain ketika ini sengit, saya tekad menceburi perniagaan...syukur ayah dan ibu sangat memahami dan menyokong hasrat saya.

"Walaupun sekarang ibu berkhidmat sebagai pegawai sumber manusia di sebuah kilang, beliau banyak memberi galakan selain membantu saya termasuk bangun tidur seawal jam 5 pagi untuk memasak beberapa menu asas sebelum pergi ke tempat kerjanya," katanya.


KESEMUA menu yang dihidangkan di kafe 'Moh Makan@1.90' yang diusahakan Farhana Akasha dijual dengan harga RM1.90. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Beliau berkata, keputusannya untuk menceburi perniagaan berasaskan masakan turut didorong kemahuannya untuk meneruskan legasi perniagaan butik yang pernah diusahakan ibunya kira-kira dua tahun lalu.

Anak keempat dari enam beradik itu berkata, walaupun perniagaan diusahakan ibunya gagal, ibu saudaranya meneruskan legasi perniagaan keluarga mereka itu dengan masih menjual jenis pakaian tertentu seperti kanak-kanak dan wanita di Moh Makan@1.90.

Justeru, katanya selain suasana kafe yang tenang dengan dekorasi ala butik, pelanggan yang makan di kafe itu juga boleh membeli pakaian termasuk pakaian terpakai dengan harga berpatutan.


KARI ayam dan pasta wok-wok selain laksa antara menu yang sering mendapat permintaan tinggi di di kafe Moh Makan@1.90 mee kari ayam dan pasta wok-wok selain laksa. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

INFO:

Kafe Moh Makan @1.90

Lokasi - Jalan Taiping, Talang, Kuala Kangsar

Menu istimewa - mee kari ayam dan pasta wok-wok

Konsep kafe tertutup digabungkan bersama butik pakaian

Idea konsep diilhamkan perniagaan butik yang pernah diusahakan ibu

Dibuka setiap hari kecuali Ahad antara jam 9 pagi hingga 9 malam

Post a Comment

0 Comments