Jelius Ating berang aksi lemah pemain import

Jelius Ating berang aksi lemah pemain import



Pengendali Sabah, Jelius Ating, kecewa dengan prestasi beberapa pemain importnya yang beraksi di bawah tahap diharapkan sehingga menyebabkan mereka terlepas peluang untuk meraih kemenangan ketika bertemu UiTM FC dalam aksi Liga Perdana, di Stadium Likas, Kota Kinabalu, semalam. Dalam perlawanan itu, skuad Tambadau sekadar mencatat keputusan 1-1 walaupun memiliki banyak peluang terhidang. Walaupun tidak menamakan pemain import yang dimaksudkan, jurulatih berusia 48 tahun itu mungkin merujuk kepada penyerang import dari Brazil, Luis Carlos Junior, yang terlepas beberapa peluang, termasuk dua situasi satu lawan satu dengan penjaga gol lawan.

"Dalam Liga Malaysia ini, pemain import sepatutnya memberikan impak kepada sesebuah pasukan kerana jika tahap mereka lebih kurang sama dengan pemain tempatan, apalah guna kita membayar mereka dengan gaji yang mahal.
"Jika kita melihat kepada perlawanan tadi (semalam), ada pemain import yang sangat bekerja keras, namun ada pemain import kami yang bermain tidak seperti yang diharapkan.
"Sikap mereka memang mengecewakan," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Sementara itu, Jelius berkata pasukannya boleh memenangi perlawanan itu jika setiap peluang yang terhidang dapat disudahkan dengan baik. Beberapa peluang terbaik, termasuk situasi satu lawan satu dengan penjaga gol, sepatutnya diterjemahkan kepada jaringan, namun ia gagal dilakukan dan pihak lawan pula menyamakan kedudukan.

"Seperti saya katakan sebelum ini, jika kami tidak memanfaatkan peluang yang ada, kami mungkin terlepas peluang untuk memenangi perlawanan dan ia berlaku malam ini walaupun kami sudah mendahului.
"Saya sedikit kecewa dengan ketumpulan penyudah.
"Beberapa peluang terbaik, terutama apabila hanya berdepan dengan penjaga gol, ia sepatutnya disudahkan dan kami boleh memenangi perlawanan ini," katanya.

Jurulatih berusia 48 tahun itu, bagaimanapun, berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan barisan pemain tempatan, khususnya mereka yang jarang diturunkan sebagai kesebelasan utama.

"Saya sebenarnya tiada masalah dengan pemain tempatan kerana walaupun tidak dapat menurunkan beberapa tonggak utama, pemain yang diberikan peluang secara keseluruhannya bermain baik," katanya.

Dalam aksi malam tadi, skuad Tambadau mendahului UiTM FC menerusi tandukan Rodoljub Paunovic pada minit ke-49, namun kelebihan itu dipadam penyerang import UiTM FC, Robert Waly Lopez Mendy, hasil sepakan percuma pada minit ke-84.

Keputusan itu menyaksikan Sabah kekal di tangga kedua liga dengan 15 mata, tiga mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta'zim II (JDT II) yang mengumpul 18 mata.--- STADIUMASTRO

*Kredit imej - Media Sabah FA

Post a Comment

0 Comments