Sabah di landasan terbaik

Sabah di landasan terbaik



JUNIOR melonjak melepasi kepungan pertahanan Pulau Pinang menanduk masuk sepakan percuma Sabri Sahar untuk gol pertama Sabah. - Gambar ihsan Media SAFA.

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Peter Anthony gembira dengan pencapaian Tambadau Sabah tetapi menegaskan belum ada apa yang perlu diraikan kerana saingan masih panjang.

"Saya gembira dengan pencapaian pasukan setakat ini tetapi belum ada apa yang perlu diraikan kerana saingan masih panjang...pusingan pertama pun belum selesai.

"Selaku peneraju SAFA, saya akan terus berusaha melakukan apa sahaja bagi memastikan pasukan Tambadau Sabah terus maju dan saya yakin kita kini di landasan yang betul untuk memburu sasaran naik ke Liga Super musim depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Tambadau Sabah menumbangkan sukad Harimau Kumbang Pulau Pinang 2-0 dalam saingan Liga Premier di Stadium Likas, Sabtu lalu.


"Dengan kerjasama semua pihak melaksanakan peranan masing-masing baik di pihak pentadbiran, pengurusan, pegawai pasukan, pemain dan penyokong, saya yakin kita mampu mengembalikan kegemilangan bola sepak Sabah.

"Saya berharap pencapaian baik setakat ini terus menyemarakkan semangat semua terutamanya pasukan untuk lebih berkerja keras," kata Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur.

Kemenangan 2-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Likas, Sabtu lalu memberikan mata ke-14 selepas tujuh perlawanan untuk Tambadau Sabah menyamai pencapaian pusingan pertama (10 perlawanan) musim lalu.

Buat julung kalinya juga Sabah kini menduduki tangga teratas memintas pendahulu sebelumnya, Johor Darul Ta'zim II (JDT II) yang diikat dengan keputusan seri 1-1 oleh Sarawak.

JDT II juga memiliki 14 mata tetapi dijarakkan perbezaan jaringan yang berpihak kepada Tambadau Sabah.

UiTM FC juga terus memberi tekanan kepada dua pasukan teratas itu selepas menumpaskan Selangor United 2-1 untuk mengumpul 13 mata di tangga ketiga.

JDT II dan UiTM bagaimanapun kurang satu perlawanan berbanding Tambadau Sabah.

Kemenangan ke atas Pulau Pinang melebarkan rekod tanpa kalah Tambadau Sabah kepada enam perlawanan berturut-turut selepas memulakan musim ini dengan kekalahan 1-2 ditangan JDT II di gelanggang sendiri.

Kedua-dua gol Tambadau Sabah dijaringkan penyerang import dari Brazil, Luis Carlos Junior pada minit ketiga dan 52.

Skuad bimbingan Jelius Ating akan beralih tumpuan kepada saingan kalah mati Shopee Piala FA menentang Kelantan United FC di tempat lawan 3 April ini.--- Utusanborneo

Post a Comment

0 Comments