Seharusnya 'tiru' Liga Akademi Bolasepak Pulau Pinang (LABPP)

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin. - Foto Owee Ah Chun

Seharusnya 'tiru' Liga Akademi Bolasepak Pulau Pinang (LABPP) 


Liga Akademi Bolasepak Pulau Pinang (LABPP) seharusnya menjadi contoh kepada semua pihak dalam usaha membantu sistem bola sepak negara mencungkil bakat baharu dari peringkat akar umbi. Justeru, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyanjung tinggi sebarang usaha membudayakan bola sepak di peringkat usia kanak-kanak dalam memastikan industri bola sepak yang mampan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan kewujudan liga seperti LABPP dapat memudahkan lagi usaha mengenal pasti pemain pelapis masa depan selain mendedahkan mereka kepada perlawanan kompetitif secara berkala.


"Kami berharap lebih banyak ibu bapa dan pencinta bola sepak membentuk liga sebegini dan membantu sistem sedia ada untuk meluaskan kelompok pemain dengan mendedahkan mereka menerusi saingan liga," katanya pada Majlis Pelancaran LABPP 2019 di Penang Free School, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi; Naib Presiden FAM, Mohd Joehari Mohd Ayub; Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, Md Dali Wahid.

Turut hadir pada majlis itu adalah Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Dr Amar Pritpal Abdullah;Timbalan Presiden, Datuk Abdul Rashid Ismail; Setiausaha Kehormat, Dastagir V K Mohd Yassin; Ketua Jurulatih Negeri Pulau Pinang, Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), S Veloo; Presiden LABPP, Yusri Abdul Hamid dan Presiden Kelab Bolasepak Penang Panther, Nizam Nazri Hashim.

LABPP sudah memasuki musim kelima, dengan format liga secara mingguan dan bulanan untuk pemain berusia enam hingga 16 tahun sehingga ada beberapa produk kelahirannya sudah diserap ke dalam sistem arus perdana sekolah sukan negeri dan sekolah sukan di Gambang, Pahang.--- bharian

Post a Comment

0 Comments