Tambadau hadapi dua perlawanan pertama di tempat lawan

JELIUS ATING

Skuad Tambadau Sabah akan memulakan saingan peringkat Kumpulan C Piala Malaysia dengan dua perlawanan berturut-turut di tempat lawan bermula menentang juara bertahan Perak di tempat lawan 4 Ogos depan.

Tambadau hadapi dua perlawanan pertama di tempat lawan


Jadual yang dikeluarkan Malaysia Football League (MFL) pada Jumaat menyaksikan kedua-dua pasukan akan bertembung di Stadium Ipoh, Perak manakala satu perlawanan Kumpulan C antara Pahang dan Pulau Pinang berlangsung sehari lebih awal (3 Ogos) di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.

Perlawanan kedua Tambadau juga di tempat lawan menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 7 Ogos sebelum mengakhiri jadual pusingan pertama menentang Pahang di Stadium Likas pada 17 Ogos. Jadual pusingan kedua belum dikeluarkan.

Baca:
Peter Anthony yakin Sabah mampu buat kejutan saingan Piala Malaysia 2019
Labuan juara bolasepak Paralimpik
Sabah dalam Kumpulan C yang sukar

Ketua jurulatih Jelius Ating ketika dihubungi berkata, mereka kini fokus kepada persiapan dan akan fikirkan tentang jadual perlawanan itu bila tiba masanya.

"Saingan peringkat kumpulan ini dijalankan secara liga dua pusingan di mana semua pasukan akan bertemu dua kali iaitu di tempat sendiri dan tempat lawan.
"Tidak kiralah siapa dan di mana kita akan mulakan perlawanan, kami tetap perlu bersedia," kata Jelius ketika dihubungi di Selangor.
Tambadau Sabah kini berada di Selangor untuk dua perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga Premier UKM FC di padang UKM Bangi, Selangor hari ini dan esok.

"Dua perlawanan dengan UKM ini adalah antara persiapan kita. Ia pilihan lawan yang sesuai kerana sekarang ini kita cuma mahu mengekalkan momentum baik pasukan....terima kasih kepada pengurusan kerana membolehkan adanya perlawanan yang sangat diperlukan ini.
"Lawan pasukan dari Liga Super kurang sesuai kerana mereka semua pun main di Piala Malaysia. Main perlawanan yang terlalu kompetitif dedah risiko pemain cedera..kita tidak mahu ini terjadi kerana perlawanan pertama tinggal beberapa hari lagi," kata Jelius.

Menurutnya, semua 23 pemain yang dibawa ke perlawanan persahabatan itu akan diberi peluang beraksi.

"Perlawanan esok (hari ini) kita akan turunkan barisan pemain kedua, begitu juga dengan pasukan lawan.

"Pada perlawanan kedua Ahad nanti baru kita turunkan barisan pemain utama. Saya fikir dua perlawanan ini akan memberikan kita persediaan yang diperlukan," kata Jelius.

Pemain yang disenaraikan untuk dua perlawanan persahabatan itu terdiri daripada Rozaimie Rohim, Robson Rendy Rining, Alto Linus, Ricco Nigel Milus, Rawilson Batuil, Park Tae Su, Randy Baruh, Jenius Karib, Mohd Azwan Fattah, Mohd Azizan Nordin, Maxsius Musa, Rahmanshah Marajeh, Muhammad Mohd Safar, Aguinaldo Mendes, Ahmet Atayev, Rodoljub Paunovic, Mafry Balang, Ummareng Bacok, Evan Wensley Wenceslaus, Ranilson Batuil, Mazlan Yahya, Dendy Lowa dan Justin Samaan.

"Buat masa ini semua pemain dalam keadaan baik...bebas dari kecederaan kecuali Sabri (Sahar yang masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan lutut). Saya harap keadaan ini kekal untuk kita menghadapi saingan Piala Malaysia dengan skuad terbaik," kata Jelius.

Sebagai rekod Perak adalah pasukan yang menyingkirkan Sabah di separuh akhir Piala Malaysia musim lalu dengan agregat 2-7. Sabah `dilemaskan' dengan kekalahan 5-0 pada pertemuan pertama di Stadium Ipoh dan hanya mampu seri 2-2 di Stadium Likas pada perlawanan balas.

Musim ini, Sabah dengan gelaran Tambadau dijangka mampu memberi tentangan lebih sengit dan telah memberi amaran awal dengan kejayaan merangkul gelaran juara Liga Premier.



----- UTUSANBORNEO

Post a Comment

0 Comments