Pemain badminton dari Sabah ke suku akhir Kejohanan Badminton Ghana International Series 

Pemain badminton dari Sabah ke suku akhir Kejohanan Badminton Ghana International Series 



DR. SALLEH (kiri sekali) bersama Saffuan, Syahzlan dan Datu Sardik.

CyberSafety meletakkan sukan badminton negeri ini ke tahap membanggakan menerusi aksi dua pemainnya di peringkat antarabangsa.

Dua pemainnya, Syahzlan Hazwan Salleh dan Datu Mohd Saffuan Nizam Sardik mencatat keputusan membanggakan pada aksi di Kejohanan Badminton Ghana International Series yang berakhir pada Ahad.

Kedua-dua pemain itu mara ke suku akhir kejohanan itu bagi acara beregu lelaki dan tewas kepada beregu pilihan kedua, Godwin Olofua dan Anuoluwapo Juwon Opeyori daripada Nigeria dengan keputusan 20-22 dan 13-21.

“Keputusan itu sememangnya membanggakan kerana mereka berjaya ke suku akhir…persaingan pada kejohanan itu sememangnya mencabar,” kata pengarah urusan CyberSafety, Dr Salleh Parasin di sini.

Katanya, kedua-dua pemain itu tidak ditemani oleh mana-mana pegawai atau jurulatih sebaliknya bertindak secara sendirian.

“Mereka tidak seperti pemain lain yang ditemani oleh jurulatih dan kejayaan melangkah ke suku akhir tentu sekali membanggakan,” katanya lagi.

Dr Salleh memberitahu kedua-dua pemain tersebut berhadapan dengan pemain yang rangking dunia lebih baik berbanding mereka.


Katanya beregu Nigeria yang menewaskan Syahzlan dan Saffuan di suku akhir adalah beregu yang pernah beraksi pada Sukan Olimpik lalu.

“Jika diukur daripada rangking dunia, Syahzlan dan Saffuan berada di belakang tetapi yang membanggakan kami ialah keupayaan mereka ke suku akhir,” katanya lagi.

Menurutnya kejayaan Syahzlan dan Saffuan ke suku akhir mendapat perhatian pada kejohanan itu kerana mereka bukan beregu yang disenaraikan sebagai pilihan.

Syahzlan dan Saffuan melakukan uppset apabila menewaskan beregu daripada Ghana, George Ayittey dan Emmanuel Botwe dengan keputusan 21-9, 21-14 untuk melangkah ke suku akhir.

Dalam pada itu Dr Salleh memberitahu kedua-dua pemain itu akan turut beraksi pada Kejohanan Badminton Myanmar International Series, Kejohanan Badminton Terbuka Vietnam Yonex Sunrise, Kejohanan

Badminton Celcom Axiata Malaysia International Challenge, Yonex Sunrise Nepal International Series, Yones Sunrise Bangladesh International Series dan Maldives International Future Series.

Dr Salleh juga berkata kedua-dua pemain itu akan kembali ke Sabah pada Selasa dan akan menjalani latihan bagi menghadapi Kejohanan Badminton Tertutup Sabah di Lahad Datu bulan depan.



---- UTUSANBORNEO

Post a Comment

0 Comments