Liga KDM Malaysia pusingan 16 pasukan terbaik kini bermula

Liga KDM Malaysia pusingan 16 pasukan terbaik kini bermula


JELLYSIUS SAIMPON

Kejohanan Liga Bola Sepak Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia 2018-2019 yang berehat sepanjang bulan puasa dan perayaan Aidilfitri lalu akan disambung semula dengan pusingan 16 pasukan terakhir pertandingan liga penghujung minggu ini. Setiausaha penganjur Jellysius Saimpon berkata, pusingan 16 pasukan terakhir itu akan dijalankan secara kalah mati menerusi perlawanan timbal balik.


Pasukan yang layak ke pusingan 16 pasukan terakhir itu terdiri daripada juara dan naib juara edisi pertama Keningau dan Papar, Kudat, Telupid, Sugud, Sepanggar, Penampang, Tongod, Lahad Datu, Kota Marudu, Bandaraya KK, Putatan, Ranau, Karambunai, Semporna dan Kepayan.

"Masing-masing empat perlawanan akan berlangsung pada Sabtu (13 Julai) dan Ahad (14 Julai) ini," kata Jellysius ketika ditemui di sini pada Selasa.

Jadual pada Sabtu menyaksikan Papar menentang Kudat di padang Majlis Daerah Papar, Telupid menentangg Sugud (KS Penampang), Sepanggar menentang Penampang (Stadium UMS) dan Tongod menentang Lahad Datu (KS Sandakan).


Pada Ahad, Kota Marudu akan menentang Bandaraya (padang Majlis Daerah Kota Marudu), Putatan menentang Ranau (KS Penampang), Keningau menentang Karambunai (KS Keningau) dan Semporna menentang Kepayan (KS Tawau).

"Kecuali pertemuan antara Sepanggar dan Penampang yang sepak mulanya pada jam 8.00 malam, sepak mula perlawanan lain adalah pada jam 3.45 petang," kata Jellysius.

Liga KDM Malaysia adalah anjuran Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia dengan kerjasama Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) Sabah yang menawarkan hadiah keseluruhan lebih RM300,000.

Ia adalah edisi kedua kejohanan tempatan terbesar itu dianjurkan dengan penyertaan 32 pasukan. Edisi pertama kejohanan itu adalah pada 2014-2015. Selain pertandingan liga, kejohanan itu juga mempertandingkan pertandingan Piala FA.

Post a Comment

0 Comments