Tarikan ladang anggur di Kampung Bantayan, Tamparuli

Tarikan ladang anggur di Kampung Bantayan, Tamparuli




Ladang anggur dan buah tin di Jongrapevines and Figs Garden yang terletak di Kampung Bantayan, Tamparuli, dekat sini menjadi lokasi agro-pelancongan yang semakin menjadi tumpuan pelancong di daerah ini. Ladang seluas kira-kira 0.4 hektar itu diusahakan sejak dua tahun lalu oleh Jontih Enggihon yang juga merupakan Presiden Persatuan Pokok Tin dan Anggur Sabah.


Ketika ditemui Bernama di ladang anggurnya itu, Jontih berkata ladang tersebut yang diusahakan secara organik sepenuhnya itu menjadi tumpuan kerana buah anggur dan tin bukanlah buah yang tumbuh secara semula jadi di negara-negara beriklim sub-tropika atau sederhana sejuk seperti di Asia Tenggara.

"Masyarakat tempatan selalu melihat buah anggur dan buah tin yang sudah dipetik dan dijual di pasaran, namun jarang melihat buah berkenaan secara terus dari pokok.

"Di ladang ini pengunjung boleh melihat sendiri pokok anggur dan buah tin yang ditanam serta dijaga secara khusus di dalam rumah kalis hujan," katanya.

Menurutnya pelancong juga berpeluang memetik dan merasai sendiri 75 jenis buah anggur secara terus dari pokok, dengan pantauan pekerja ladang. Beliau berkata benih anggur yang ditanam di ladang berkenaan diimport daripada Amerika Syarikat, Sepanyol, United Kingdom, Russia, China dan Jepun.

Jontih yang juga merupakan Pengarah di Jabatan Mineral dan Geo Sains Selangor dan Wilayah Persekutuan turut menyediakan bibit pokok anggur dan buah tin di ladang berkenaan untuk tujuan pasaran di seluruh negara. - Bernama

Post a Comment

0 Comments