Subsidi petrol bersasar akan diperkenalkan




Subsidi petrol bersasar akan diperkenalkan



Kumpulan berpendapatan rendah dijangka menerima subsidi petrol melalui sistem pembayaran langsung dan bukan kad subsidi.

Laporan The Malaysian Insight yang memetik sumber dari kementerian sebagai berkata usul itu dijangka akan dibentangkan pada mesyuarat kabinet minggu depan.

Difahamkan, Kementerian Kewangan sudah melantik vendor untuk menguruskan sistem kad subsidi tetapi akan menyelaraskan semula mekanisme subsidi tersebut untuk menampung sistem pembayaran secara terus kepada penerima.

Di bawah skim tersebut, penerima dikehendaki membuka akaun kiriman wang untuk menerima subsidi itu selepas mereka membayar petrol pada harga biasa.

Sumber-sumber itu juga berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan para penggiat industri lebih memilih sistem pembayaran terus berbanding kad subsidi.

Portal itu juga melaporkan, mereka difahamkan pegawai di dua kementerian itu sedang mengkaji laporan untuk kabinet.

Pada April, Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail memberitahu parlimen bahawa Putrajaya sedang memutuskan antara dua kaedah bagi melaksanakan subsidi petrol.

Saifuddin juga berkata kerajaan sedang membina pangkalan data khas untuk pelaksanaan subsidi itu, berbeza dari yang digunakan untuk program Bantuan Sara Hidup (BSH).

Dalam Bajet 2019, RM2 bilion akan diperuntukkan bagi kerajaan untuk melaksanakan subsidi bahan api yang disasarkan pada separuh kedua tahun ini.

Subsidi yang dirancang itu bertujuan bagi menggantikan harga petrol yang dikawal pada masa ini.

Pemilik kereta bawah 1,500cc dan motosikal di bawah 125cc berhak menerima subsidi 30 sen tersebut.


Sumber: Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments