Sabah tumbangkan NS di Likas


PEMAIN Sabah, Alto Linus (tengah) melepasi pemain Negeri Sembilan, Kalaiharasan Letchumanan dalam perlawanan Liga Perdana Malaysia 2019 di Stadium Likas. NSTP/Khairull Azry Bidin.

Sabah tumbangkan NS di Likas



Sabah terus memberi saingan sengit dalam memburu kejuaraan Liga Perdana musim ini apabila membenam Negeri Sembilan (NS) 1-0, di Stadium Likas, di sini, malam ini.

Aksi di babak pertama menyaksikan bola lebih tertumpu di kawasan tengah padang dan tiada cubaan berbahaya dihasilkan kedua-dua pasukan.

Sabah hanya tiga kali mencemaskan pintu gol NS iaitu dua menerusi Rodoljub Paunovic dan satu oleh Alto Linus namun kesemua peluang itu gagal disudahkan dengan baik.


Pasukan pelawat pula hanya melakukan satu percubaan ke arah pintu gol Sabah menerusi Muhammad Ferris Danial Mat Nasir namun ianya liar di atas palang gol.

ADVERTISEMENT



Bermula babak kedua, NS lebih dulu mencemaskan pintu gol Sabah, namun cubaan Igor Carneiro Luiz selepas melepasi kawalan Rawilson Batuil pada minit ke-49 hanya sedikit tersasar di sebelah kiri tiang gol.

Sabah memiliki peluang terbaik pada minit ke-63 menerusi Paunovic, namun penjaga gol lawan lebih pantas mendapatkan bola dalam keadaan satu lawan satu di luar kotak penalti.

Gol yang dicari Sabah akhirnya muncul pada minit ke-65 apabila Alto melakukan penyudah selepas keadaan kelam kabut dalam kotak penalti NS bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Jaringan itu mendapat bantahan daripada para pemain dan barisan jurulatih NS apabila mendakwa seorang pemain Sabah ofsaid namun pengadil tetap memberikan gol itu kepada tuan rumah.

Kemenangan itu menyaksikan Sabah naik ke tangga kedua selepas mengumpul 28 mata selepas mengharungi 14 perlawanan, hanya satu mata di belakang pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim II (JDTII).

Post a Comment

0 Comments