‘Messi Jepun’ disambar Real Madrid

‘Messi Jepun’ disambar Real Madrid


KUBO

Pemain remaja sensasi Takefusa Kubo bakal diambil oleh kelab gergasi di Sepanyol, Real Madrid, media Jepun melaporkan semalam.

Penyerang FC Tokyo itu, yang baru-baru ini membuat penampilan sulung sepenuhnya bersama Jepun dan digelar ‘Messi Jepun’, turut dikaitkan dengan Barcelona, Paris Saint-Germain dan juara Inggeris, Manchester City. Ketika dihubungi AFP, FC Tokyo enggan mengulas, tetapi destinasi Kubo yang berkemungkinan besar sekarang kelihatan seperti Madrid, di mana dia akan bermula di kelab cabang Real, menurut laporan yang berleluasa.

Kubo, 18, mendapat gelarannya yang berprofil tinggi selepas dia dijemput ke akademi remaja Barcelona ketika berusia sembilan tahun. Sejak itu Barcelona telah mengikuti perkembangan pemain itu, tetapi Real Madrid sekarang kelihatan sebagai kelab pendahulu untuk menandatangani Kubo, yang menjadi sensasi YouTube dengan kemahirannya mengelecek bola ketika dia masih kanak-kanak.

Pasukan Los Blancos telah menawarkan dua juta euro (RM9.6 juta) setahun kepada Kubo untuk bermain dalam pasukan barisan kedua Real, Castilla, bagi menimba pengalaman, menurut media Jepun. Musuh utama Barca cuba menandatangani Kubo pada 2014 tetapi dikenakan larangan perpindahan oleh FIFA kerana melanggar peraturan berhubung pengambilan pemain bawah umur.

Kubo dimasukkan sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua dalam kemenangan 2-0 oleh Jepun ke atas El Salvador pada hujung minggu lepas dan telah dimasukkan ke dalam skuad ‘Blue Samurai’ untuk Copa America, yang bermula semalam. — AFP

Post a Comment

0 Comments