Gol jauh Puskas Rooney

Gol jauh Puskas Rooney




GOL UNGGUL: Pasukan D.C United meraikan gol jaringan Rooney (dua kiri) pada aksi perlawanan MLS menentang Orlando City di Audi Field. — Gambar USA TODAY Sports

Wayne Rooney menjaringkan gol sensasi dengan satu rembatan dari bahagian padangnya sendiri untuk kelabnya di Amerika Syarikat DC United yang mencetuskan pujian dalam media sosial dari seluruh dunia pada Khamis.

“Gol tercantik pada musim ini” yang dia jaringkan membantu United mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Orlando City pada Rabu lepas dan menyaksikan bekas penyerang England veteran itu menari dengan begitu teruja sekali.


Bekas bintang Manchester United itu meledakkan rembatan dari jarak 68 ela melepasi kepala penjaga gol Orlando Brian Rowe untuk mencecah belakang jaring pada minit ke-10.

“Saya rasa ia bagus dan ia adalah istimewa untuk menjaringkan gol itu pada malam ini,” kata Rooney dalam laman sesawang DC United.

Rooney merupakan pemain DC United yang paling ke depan ketika pasukannya bertahan beramai-ramai. Apabila bola dikeluarkan, dua pemain City menyambutnya tetapi hanya menolaknya ke laluan Rooney.

Rooney, yang mendepani gawang Orlando dan dengan bola yang melantun di depannya, melihat Rowe berada di luar kotak 18 ela dan meledakkan rembatan kali pertama.

Baca: Mengapa kehadiran penyokong di Stadium Likas mengecewakan?



Apabila bola berpusar dan menurun di atas penjaga gol yang tidak dapat berbuat apa-apa, Rooney melakukan tarian ringkas. Dia membuka tangannya dengan luas untuk meraikan jaringannya apabila bola berpusar di dalam tiang dekat untuk salah satu gol paling cantik pada tahun ini dalam Liga Bola Sepak Utama (MLS).

“Ia adalah sesuatu yang saya telah cuba begitu banyak kali dalam latihan,” kata Rooney.

“Pelbagai pengurus dan rakan sepasukan selalu bertanya, kenapa anda berlatih melakukan ini, anda tidak akan menjaringkan gol dari posisi ini, tetapi untuk malam seperti pada malam ini, itulah sebabnya kenapa saya berlatih melakukannya.”

Latihan itu pernah membuahkan hasil pada masa lalu. Pada 2017, Rooney meledakkan rembatan melepasi Joe Hart dari bahagian padangnya sendiri untuk Everton ketika menentang West Ham.

Pada 2014, Rooney menjaringkan gol dari garisan tengah untuk Manchester United (MU), juga ketika menentang West Ham.

Gol bintang DC United itu mencetuskan pujian dalam Twitter di seluruh dunia dan menarik perhatian di Britain di mana bekas rakan sepasukan Rooney di MU Rio Ferdinand bangun, melihat videonya dan tweetnya semula bersama komen “Morning Wazza...” — AFP

Post a Comment

0 Comments