Tankur juara Liga Perpaduan Sabah
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20190402/skuadtankurcopy.jpg)
SKUAD Tankur, juara Liga Perpaduan Sabah.
Tankur FC menumpaskan KDM Labuan 4-2 pada final untuk muncul juara kejohanan bola sepak Liga Perpaduan Sabah 2019 di Stadium Penampang, Ahad lalu. Diperkuatkan beberapa bekas pemain Sabah, Tankur mendahului 1-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Jufrey Omopor di minit ke-29.
Selepas rehat, bekas penyerang Sabah itu sekali lagi bertindak cemerlang memintas beberapa pertahanan memudahkan umpanan rakan untuk meletakkan Tankur 2-0 di hadapan pada minit ke-67. Seorang lagi bekas penyerang Sabah, Razlan Otto terus meletakkan Tankur selesa 3-0 di hadapan pada minit ke-70.
Sikap tidak berputus asa KDM Labuan untuk menembusi kubu Tankur yang diperkuatkan bekas ketua pasukan Sabah akhirnya berhasil menerusi Gerald Mojikon untuk mengurangkan jarak kepada 3-1 pada minit ke-75. Tankur pantas memberi respon dengan jaringan Mohd Shukri Rusli untuk mereka kembali selesa 4-1 di hadapan pada minit ke-80.
KDM Labuan terus berusaha tapi sudah terlewat dan hanya memperolehi gol kedua menerusi Mohd Ziyad Syamil pada minit terakhir permainan. Pengurus pasukan Tankur Sernam Singh gembira dan menyifatkan kejayaan mereka itu adalah hasil kerja keras pemain.
Beliau berkata, ia bukan kemenangan mudah kerana lawan memberi tentangan sengit dan turut mencipta beberapa peluang tetapi nasib berpihak kepada mereka. Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pegawai Daerah Penampang Robert Studio. Pengerusi penganjur, Edwin Jomiji berterima kasih kepada semua pasukan kerana memberi kerjasama untuk kejohanan itu sukses.
"Terima kasih juga kepada Ahli Parlimen Penampang merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darel Leiking dan pengerusi Cement Industry Sabah Terrence Siambun selaku penaja utama kejohanan itu.--- Utusanborneo
0 Comments