Tambadau Sabah turunkan barisan terbaik

Tambadau Sabah turunkan barisan terbaik


JELIUS mengendalikan latihan di Stadium Likas pada Isnin. - Gambar ihsan Media Safa.

Tambadau Sabah kekal pertaruhkan kesebelasan utama biasanya hadapi Kelantan United FC pada pusingan kedua Shopee Piala FA di Stadium Sultan Mohammad IV, di Kota Bharu, malam esok. Ketua jurulatih Jelius Ating berkata, tiada sebab untuk tidak menggunakan kesebelasan biasanya kerana saingan itu juga sama penting seperti pertandingan lain dalam Liga Malaysia.

"Kita tidak boleh pandang rendah mana-mana pasukan walaupun dari Divisyen 3 seperti Kelantan United.

"Kita juga mahu pergi sejauh mana yang boleh dalam saingan Piala FA ini dan oleh sebab itu kita perlu menganggap semua lawan adalah sama, tidak kira sama ada dari Divisyen 3, Liga Perdana mahupun Liga Super," kata Jelius ketika dihubungi hari ini.

Jelius berkata, kemenangan pada malam ini juga penting bagi meneruskan momentum baik skuad Tambadau ketika ini.

"Kita tidak mahu momentum (kemenangan) dalam saingan liga terganggu kerana pasukan akan kembali beraksi bertemu Selangor United, tiga hari selepas perlawanan esok," katanya.

Beliau berkata, hanya Sabri Sahar yang terpaksa diketepikan untuk perlawanan esok berikutan kecederaan lutut yang dialaminya ketika perlawanan bertemu Pulau Pinang di Stadium Likas, tempoh hari.

"Kecederaan yang dialami Sabri agak serius dan perlu menjalani pembedahan, kita mungkin kehilangan khidmatnya sehingga habis musim, kita harap dia akan cepat sembuh dan kembali menyertai kita secepat mungkin.

PASUKAN Tambadau Sabah menjalani latihan terakhir di Stadium Likas, Isnin lalu. - Gambar ihsan Media Safa.

"Bagaimanapun, kita akan kembali mendapat khidmat pertahanan import, Park Tae Su yang sebelum ini tidak dapat beraksi kerana menjalani penggantungan perlawanan," katanya.

Jelius dijangka mengekalkan Rozaimie Rohim sebagai penjaga gol utama dengan dibantu empat pertahanan iaitu Rawilson Batuil, Park, Dendy Lowa serta Randy Baruh. Luka Milunovic pula akan terus menggerakkan bahagian tengah dengan dibantu Mohd Azzizan Nordin, Maxsius Musa dan Ricco Nigel Milus yang akan menggantikan tempat Sabri manakala dua penyerang import, Carlos Luis Junior dan Rodoljub Paunovic kekal sebagai pemburu jaringan buat Sabah.--- Utusanborneo

Post a Comment

0 Comments