Tambadau mahu bangkit di Likas

Tambadau mahu bangkit di Likas



JENIUS (seluar nombor 14) dijangka bermula sebagai kesebelasan utama malam esok. -Gambar ihsan Media SAFA. tamat

Kehadiran ramai penyokong ke Stadium Likas membantu menyemarakkan semangat pemain dapatkan kembali rentak kemenangan Tambadau Sabah apabila melayani kunjungan UiTM FC dalam saingan Liga Premier malam esok. Menjangkakan ia satu perlawanan sengit dengan kedua-dua pasukan hanya dipisahkan satu mata, Tambadau Sabah perlukan tambahan tenaga dari sokongan padu penyokong untuk memburu tiga mata penuh yang sangat diperlukannya.

"Esok (malam ini) kita berhadapan dengan situasi menang atau dipintas lawan. Sebab itu, ia adalah perlawanan yang perlu kita menang terutama kita bermain di gelanggang sendiri. Tentunya gelanggang sendiri ini memberi kelebihan besar jika dipenuhi dengan penyokong.

"Pasukan kita dalam keadaan baik tetapi ada beberapa pemain utama tidak dapat disenaraikan kerana kecederaan dan penggantungan permainan.
"Bagaimanapun saya percaya barisan jurulatih yang diketuai Jelius Ating juga sudah ada rencana terbaik untuk pasukan memburu kemenangan. Oleh itu marilah datang beramai-ramai memberi sokongan padu kepada pasukan," kata Henry ketika ditemui di sini, hari ini.

Sambil itu, Jelius akui perlawanan malam ini mencabar baginya kerana bukan sahaja masih terasa kesan dua kekalahan berturut-turut sebelum ini tetapi juga dengan ketiadaan sekurang-kurangnya empat tonggak utama. Katanya, dua kekalahan berturut-turut di tempat lawan iaitu kepada Kelantan United (Piala FA)dan Selangor United (Liga Premier) adalah keadaan yang tidak baik buat pasukan tetapi mereka bertekad untuk bangkit dan kembali dapatkan rentak kemenangan.

"Ya memang saya akui, dua kekalahan berturut-turut telah memberi sedikit kesan terhadap semangat pasukan, namun, saya tidak pernah berhenti untuk memberikan mereka (pemain) kata-kata semangat.

"Perlawanan esok (malam ini) penting kerana di samping mahu mengukuhkan kedudukan dalam liga, kita juga mahu mengembalikan keyakinan kita. Memenangi perlawanan esok adalah cara terbaik membetulkan keadaan yang tidak baik dari dua kekalahan sebelum ini," katanya.


Bukan tugas mudah, tambahan pula mereka tanpa empat pemain utama tetapi Jelius tidak mahu ia dijadikan alasan untuk pasukan tidak mampu memberikan yang terbaik.

"Kita akan kehilangan khidmat ketua pasukan iaitu Rawilson (Batuil) dan Azizan (Nordin) kerana menjalani penggantungan satu permainan ekoran telah mengumpul tiga kad kuning.

"Maxsius (Musa) juga mungkin terpaksa diketepikan akibat kecederaan selain Sabri (Sahar) yang mungkin akan terlepas aksi sehingga habis musim kerana kecederaan teruk di kaki.

"Pengganti Sabri sebelum ini iaitu Ricco (Nigel Milus) juga belum pasti dapat diturunkan kerana turut dalam senarai kecederaan," katanya.

Apapun, Jelius yakin pemain gantian yang akan beraksi mampu melaksanakan tugas dengan menjadikan perlawanan malam ini sebagai peluang membuktikan yang mereka juga layak beraksi sebagai kesebelasan utama. Jelius dijangka mengekalkan Rozaimie Rohim sebagai benteng terakhir manakala Maffry Balang menggantikan Rawilson di bahagian pertahanan dan sebagai ketua pasukan. Pertahan lain ialah Park Tae Su, Randy Baruh dan Dendy Lowa.

Luka Milunovic dijangka terus mengemudi bahagian tengah bersama gandingan baru, Jenius Karib, Alto Linus dan Muhammad Mohd Safar yang dijangka mengambil tempat Azizan, Maxsius dan Ricco manakala jentera serang kekal disandarkan kepada gandingan Luiz Carlos Junior dan Rodoljub Paunovic. Sebagai rekod, dua pertemuan kedua-dua pasukan musim lalu berpihak kepada Sabah. Sabah menang 3-1 di tempat lawan dan menang 3-0 di tempat sendiri. Tambadau Sabah kini di kedudukan kedua dengan 14 mata manakala UiTM FC di tangga ketiga dengan 13 mata.

Post a Comment

0 Comments