Nooa Laine calon pemain warisan Harimau Malaya

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (tengah). - Foto Eizairi Shamsudin.

Nooa Laine calon pemain warisan Harimau Malaya



Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia untuk menimbangkan nama pemain kelab Finland, JJK Jyvaskyla iaitu Nooa Laine sebagai calon pemain warisan negara. Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bagaimanapun berkata ia bergantung kepada keputusan perbincangan Jawatankuasa Program Naturalisasi yang dipengerusikan oleh timbalannya, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.

“Saya baharu dapat nama ini, namun saya tidak begitu pasti lagi. Biarlah kumpulan berkenaan dibawah Jawatankuasa Program Naturalisasi membuat analisis. Jawatankuasa sedang bekerja dan mungkin mereka akan ada mesyuarat minggu depan.

“Sudah tentu mereka akan analisis daripada segi kecederaan, umur dan apa keuntungan untuk kita. Siapa pun nama yang kita akan bawa, perlu ada justifikasi untuk dikemukakan kepada pihak kerajaan,” katanya ketika ditemui pada Kongres AFC ke-29 penggal 2019-2023, di sini, hari ini.
BH Sukan semalam melaporkan beberapa nama pemain sama ada yang beraksi di dalam atau luar negara mula dicanang untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya. Malah, berdasarkan maklumat di laman web www.transfermarkt.co.uk, Laine juga didakwa sebagai sebagai pemain berdarah campuran Malaysia-Finland.

Selepas nama seperti Liridon Krasniqi, Guilherme De Paula dan Michael Ijezie yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M), kini timbul juga beberapa nama termasuk Laine yang sedang bersama kelab JJK Jyvaskyla dalam saingan Liga Divisyen Dua Finland. Pemain ini pernah menyertai skuad bawah bawah-17 tahun negara itu sebelum ini. Dalam perkembangan lain, Hamidin berkata pihaknya akan bekerja lebih keras untuk memastikan Harimau Malaya mampu melepasi peringkat playoff kelayakan Piala Dunia 2022 yang dijadualkan berlangsung pertengahan tahun ini.

“Walaupun ranking kita jatuh, kita akan terus berusaha untuk menaikkan semula kedudukan pasukan negara di tempat paling baik,” katanya.

Post a Comment

0 Comments