Lupakan kekalahan saingan Piala FA

Lupakan kekalahan saingan Piala FA



JELIUS ATING

Ketua Jurulatih Tambadau Sabah, Jelius Ating mahu pemain lupakan kekalahan dalam saingan Piala FA untuk fokus sepenuhnya kepada saingan Liga Premier menentang Selangor United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, petang ini (esok).

"Kekalahan itu memang mengecewakan tetapi ia sudah berlalu dan tiada apa yang boleh dilakukan untuk mengubahnya.

"Apapun, kita masih boleh ubah sikap dan prestasi untuk lebih positif..ini perlu kerana kita masih ada saingan Liga Premier untuk diberi tumpuan," kata Jelius ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemain perlu dapatkan semula rentak baik mereka yang hilang sehingga kalah 1-0 di tangan pasukan Divisyen Tiga Kelantan United pada pusingan kedua Piala FA di Kota Bahru, Rabu lalu.

"Kita kalah kerana pasukan bermain di bawah tahap sebenar mereka. Amat malang kerana ia terjadi dalam perlawanan kalah mati yang bermakna sudah terkeluar dari Piala FA.

"Saya akui ia keputusan mengejutkan tetapi perkara seperti ini boleh berlaku dalam bola sepak dan ianya terjadi kepada kami," katanya.
Jelius berkata usaha telah dilakukan untuk memulihkan semangat, keyakinan dan mentaliti pemain.

"Kami kena hadapi perlawanan esok (hari ini) dengan sikap positif...harap-harap kita dapat keputusan positif juga," katanya.

Beliau menjangkakan perlawanan esok akan menjadi ujian getir selepas kekalahan dalam saingan Piala FA itu.


Katanya, kedudukan Tambadau Sabah di dua kedudukan teratas juga menjadikan mereka kini sebagai antara pasukan sasaran untuk dikalahkan pasukan lain.

"Ianya tugas lebih berat mempertahankan kedudukan di atas daripada memburunya.

"Selangor United telah memberi masalah kepada pasukan Liga Super Kedah dalam saingan Piala FA. Sebab itu kami kena bersedia dan perlu memberikan persembahan terbaik sebenar jika mahu dapatkan keputusan positif," katanya.

Dalam saingan Piala FA, Kedah dipaksa mengejar dari ketinggalan 2-0 dan dipaksa bertarung ke masa tambahan sebelum menang 3-2 ke atas Selangor United.

Dalam carta Liga Premier, Tambadau Sabah di kedudukan lebih baik dengan 14 mata berbanding Selangor United di tangga keempat dengan 10 mata.

Jelius dijangka akan menurunkan kesebelasan biasanya tanpa pemain tengah Sabri Sahar yang dalam senarai kecederaan.

"Ketiadaan Sabri memang dirasai tetapi bagi saya ia lebih kepada hanya mengurangkan pilihan pemain.

"Saya yakin dengan semua pemain yang ada. Tempat Sabri akan diisi sama ada oleh Ricco (Nigel Milus) atau Mafry (Balang). Pemain lain kekal," kata Jelius.

Penjaga gol kekal dipikulkan kepada Rozaimie Rohim manakala pertahanan dibarisi Park Tae Su, Rawilson Batuil, Randy Baruh dan Dendy Lowa. Jentera tengah digerakkan Mohd Azizan Nordin, Maxsius Musa dan Mafry atau Ricco sementara Luka Milunovic lebih ke depan membantu gandingan penyerang Luiz Carlos Junior dan Rodoljub Paunovic.---- Utusanborneo

Post a Comment

0 Comments