MUSA HADAPI 16 LAGI PERTUDUHAN, KALI INI ATAS DAKWAAN PENGUBAHAN WANG HARAM

MUSA HADAPI 16 LAGI PERTUDUHAN, KALI INI ATAS DAKWAAN PENGUBAHAN WANG HARAM


Tan Sri Musa Aman. Gambar Bernama

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) — Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 16 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih AS$37.8 juta dan SGD2.5 juta antara Jun 2006 dan Mei 2008.

Pertuduhan itu menjadikan Musa kini berdepan 51 pertuduhan termasuk 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Musa, 68, yang memakai kot biru dan bersongkok mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan satu persatu oleh dua jurubahasa di hadapan Hakim Rozina Ayob.

“Saya tuntut bicara,” katanya yang duduk dalam kandang tertuduh selepas Rozina bertanyakan sama ada dia mengaku bersalah atau tidak atas pertuduhan itu. Terdahulu peguam Francis Ng Aik Guan memohon supaya anak guamnya dibenarkan duduk ekoran masalah kesihatan.

Tertuduh yang memakai kot biru dan bersongkok menjawab “tuntut bicara” selepas Rozina bertanyakan sama ada dia mengaku bersalah atau tidak atas pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan pertama Musa didakwa telah melibatkan diri secara tidak langsung dalam transaksi pengubahan wang haram dengan mengarahkan Richard Christopher Barnes, 67, untuk membuka satu akaun di Bank UBS AG Singapura di atas nama Richard untuk menerima hasil dari aktiviti haram di Bank UBS AG, Singapura pada 21 Jun, 2006.

Musa juga dituduh atas pertuduhan alternatif bagi pertuduhan pertama iaitu telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan mengarahkan Richard untuk membuka satu akaun di Bank UBS AG Singapura melalui akaun atas nama Richard untuk menyembunyikan pemunyaan Musa ke atas hasil dari aktiviti haram di tempat dan pada tarikh sama.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Musa didakwa telah melibatkan diri secara tidak langsung dalam pengubahan wang haram dengan menerima masing-masing AS$16,148,547.00 dan AS$1,047,153.00 daripada Chia Tien Foh, melalui akaun di atas nama Richard di mana kedua-dua wang itu adalah hasil dari aktiviti haram.


Pertuduhan keempat dan kelima, Musa dituduh atas pertuduhan sama dengan menerima masing-masing AS$2,702,702.00 dan AS$2,180,673.00 daripada Young Generation Corp melalui akaun di atas nama Richard di mana wang berkenaan adalah hasil dari aktivit haram.

Pertuduhan keenam, Musa didakwa atas pertuduhan sama dengan menerima AS$4,044,956.82 daripada Lo Man Heng melalui akaun di atas nama Richard di mana wang itu adalah hasil dari aktiviti haram dan bagi pertuduhan ketujuh dan kelapan, dia didakwa atas pertuduhan serupa dengan menerima masing-masing AS$518,681.74 dan AS$895,000.00 daripada Mazlan Zakaria melalui akaun di atas nama Richard di mana kesemua wang itu adalah hasil dari aktiviti haram.

Pertuduhan kesembilan dan kesepuluh Musa didakwa pertuduhan serupa dengan menerima masing-masing AS$7,300,000.00 dan SGD2,500,000.00 daripada Axon Group Ltd melalui akaun di atas nama Richard di mana kesemua wang itu adalah hasil dari aktiviti haram.

Bagi pertuduhan ke-11 dan ke-12, Musa menghadapi pertuduhan sama dengan menerima masing-masing AS$862,000.00 dan AS$778,443.00 daripada Well Capital Finance Limited melalui akaun di atas nama Richard di mana kesemua wang itu adalah hasil dari aktiviti haram.

Pertuduhan ke-13, Musa didakwa pertuduhan sama dengan menerima AS$650,000.00 daripada Innovative Information Ltd melalui akaun di atas nama Richard di mana kesemua wang itu adalah hasil dari aktiviti haram.

Bagi pertuduhan ke-14, Musa didakwa pertuduhan serupa dengan menerima AS$406,003.29 daripada Portland Trading Pte Ltd melalui akaun di atas nama Richard di mana wang itu adalah hasil dari aktiviti haram.

Pertuduhan ke-15, Musa didakwa atas pertuduhan sama dengan menerima AS$311,332.50 daripada Well Capital Finance Limited melalui akaun di atas nama Richard di mana wang itu adalah hasil dari aktiviti haram.

Bagi pertuduhan terakhir iaitu pertuduhan ke-16, Musa didakwa cuba untuk melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan mengarahkan Richard untuk memindahkan kesemua aset dan kemasukan wang yang akan datang dari akaun di atas nama Richard ke atas akaun miliknya di Bank UBS AG Zurich di mana kesemua aset dan kemasukan wang tersebut adalah hasil dari aktiviti haram.

Mengikut pertuduhan kedua sehingga ke-16, Musa dituduh melakukan perbuatan itu di Bank UBS AG, Central Hong Kong Special Administrative Region of the Republic of China antara 21 Jun 2006 dan 14 Mei 2008.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran memohon mahkamah menggunakan jaminan berjumlah RM2 juta yang dikenakan ke atas Musa ketika didakwa atas 35 pertuduhan rasuah pada 5 Nov tahun lepas.

Raja Rozela juga memohon untuk kes pengubahan wang haram itu dibicarakan bersama dengan kes rasuah yang dihadapi Musa di mahkamah yang sama.

Ng berkata pihaknya bersetuju dengan penggunaan jaminan terdahulu sebagai ikat jamin dan memberitahu pihaknya tidak mempunyai sebarang bantahan untuk menggabungkan kedua-dua kes dalam satu perbicaraan.

Mahkamah membenarkan Musa menggunakan jaminan terdahulu dengan dua penjamin dan menetapkan 15 April untuk pengurusan kes.

Ng juga memberitahu mahkamah bahawa Musa telah menerima sepucuk surat dari Suruhanjaya Bebas Membanteras Rasuah Hong Kong (ICAC) pada 22 Dis 2011 yang bercanggah dengan kes dihadapi Musa di mahkamah.

“Surat itu menyatakan siasatan terhadap Musa telah selesai dan timbalan pesuruhjaya ICAC bersetuju bahawa tiada siasatan lanjut akan diteruskan ke atas Musa. Kami akan mengemukakan permohonan mengenainya di Mahkamah Tinggi,” katanya dan Rozina memerintahkan pihak pembelaan membuat permohonan secara rasmi berhubung perkara itu.

Terdahulu, semasa sebutan semula kes 35 pertuduhan rasuah yang dihadapi Musa, Raja Rozela memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan telah menyerahkan baki dokumen berkaitan kes di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah kepada pembelaan, pagi ini.

Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan kes Musa yang turut diwakili peguam Amer Hamzah Arshad dan Ridha Abdah Subri bermula 15 Julai.

Pada 5 Nov 2018, Musa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di Sabah berjumlah AS$63,293,924 (RM263,460,962.313) daripada lapan pemilik syarikat konsesi balak.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di lapan institusi kewangan di Hong Kong dan Singapura antara 20 Dis 2004 dan 6 Nov 2008.

Pertuduhan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, jika ia dapat dinilai dalam bentuk wang atau denda RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA

Post a Comment

0 Comments