ACARA PENUAIAN TAGAL SUNGAI BOLEH JADI PRODUK PELANCONGAN

Ewon turut serta dalam program menuai hasil tagal di sungai Terintidon. Gambar SNT/Ihsan KPLB

ACARA PENUAIAN TAGAL SUNGAI BOLEH JADI PRODUK PELANCONGAN


Acara penuaian tagal sungai di kampung-kampung yang melaksanakan sistem tagal boleh ditonjolkan sebagai salah satu produk pelancongan, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick.

Beliau menggesa agar Jawatankuasa Tagal dapat mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Jawatankuasa Pelancongan kampung masing-masing untuk memasukkan acara penuaian tagal sungai dalam kalender pelancongan masing-masing.


“Ianya boleh dipromosi melalui pelbagai platform media. Saya pasti ramai pelancong berminat mengetahui dan mengambil bahagian dalam acara penangkapan ikan sungai secara tradisi atau yang dibolehkan oleh jawatankuasa tagal,” katanya ketika merasmikan Program Penuaian Tagal Sungai di Kampung Terintidon pada Sabtu.

Ewon berkata program sedemikian boleh mempromosikan lagi sistem undang-undang tagal sebagai salah satu bentuk perundangan adat kampung yang boleh memelihara kemampanan ekosistem sungai sekaligus menjadi produk eko-pelancongan kampung.

Ewon mengangkat seekor ikan belut atau sinsilog hasil tuaian tagal sungai Kampung Terintidon. Gambar SNT/Ihsan KPLB

“Dalam masa yang sama, saya juga berharap jawatankuasa kampung dan komuniti boleh bersetuju serta bersatu hati menjaga ekosistem sungai termasuk larangan menebang pokok-pokok di sepanjang tebing atau rezab sungai yang menjadi sebahagian penting ekosistem sungai di samping mengelak risiko hakisan tanah.

“Ini termasuk memastikan kebersihan, keceriaan serta keselamatan di sepanjang sungai.

“Saya difahamkan bahawa eko pelancongan Kg Terintidon sudah merekodkan kehadiran pelancong lebih 2,000 orang selepas dibuka secara rasmi,” katanya.

Ewon (tiga kiri) bersama penduduk kampung memanggang hasil tuaian tagal. Gambar SNT/Ihsan KPLB

Beliau amat pasti para pelancong juga bersetuju supaya ekosistem sungai dan hutan yang menjadi tarikan utama pelancong di kampung tersebut dapat dipelihara dengan baik melalui penguatkuasaan perundangan dan kesedaran di kalangan komuniti dan pelancong itu sendiri.

Tambahnya antara komitmen beliau adalah menaiktaraf kemudahan infrastruktur kecil berkaitan dengan pusat-pusat ekonomi di kampung-kampung kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kadamaian khususnya di kawasan eko-pelancongan kampung.

“Sebab itu, saya telah meluluskan beberapa projek kecil menaiktaraf ke jalan konkrit menuju ke kawasan eko pelancongan di beberapa kampung di Dun Kadamaian seperti Kg Terintidon, Kg Talungan dan Kg Malangkap Tomis.

“Saya berharap ini dapat memberi manfaat khususnya kepada para pengunjung. Saya akan meneruskan komitmen ini pada tahun-tahun yang akan datang,” katanya.

Dalam program itu, Ewon juga merasmikan sebuah pondok pengunjung yang dibiayai melalui peruntukan Lembaga Pelancongan Sabah.

“Saya difahamkan oleh Pegawai Perikanan Kota Belud bahawa Jabatan Perikanan boleh membantu beberapa keperluan lain di kawasan tagal seperti papan tanda, tandas dan bilik persalinan.

“Saya berharap Jawatankuasa Tagal atau MPKK kampung dapat berurusan dengan Jabatan Perikanan Daerah bagi menyusuli perkara ini dan beberapa program lain yang berkaitan,” tambahnya. -SabahNewsToday

Post a Comment

0 Comments