Pengadil Jepun beraksi cemerlang


PENGADIL, Okabe Takuto mengeluarkan kad merah kepada pemain perak, Amirul Azhan Aznan (kanan) pada perlawanan akhir Shopee Piala FA Malaysia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Syarafiq Abd Samad


Selain pertarungan Perak dan Kedah merebut kejuaraan Piala FA, aksi tiga warga Jepun di atas padang turut menarik perhatian pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Pengadil Jepun beraksi cemerlang


Apa tidaknya, ia mencipta sejarah baharu selepas Takuto Okabe menjadi pengadil pertama dari luar negara ditugaskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengadili aksi final dalam kancah bola sepak tempatan.

Secara keseluruhannya, prestasi Okabe yang turut dibantu dua penjaga garisan, Yagi Akane dan Nomura Osamu boleh dianggap cemerlang sepanjang perlawanan.

Apa yang paling menyerlah adalah ketegasan Okabe dalam membuat keputusan membabitkan kekasaran dan terjahan keras dilakukan pemain kedua-dua pasukan.

Mungkin faktor pengalaman dimiliki Okabe menyaksikan dia tidak teragak-agak dalam membuat keputusan terutama ketika mengeluarkan kad kuning.

Malah, pengadil berusia 38 tahun itu dilihat tidak mudah terpedaya dengan lakonan pemain kedua-dua pasukan yang mengharapkan ihsan sepakan percuma.

Tindakan Okabe dan pembantunya mengesan kesalahan dilakukan pertahanan Perak, Amirul Azhan Aznan dalam melakukan lontaran ke dalam pada minit ke-28 juga menunjukkan mereka peka dengan semua situasi.

Sepanjang permainan, Okabe melayangkan enam kad kuning, masing-masing empat kepada Perak dan dua buat Kedah serta satu kad merah kepada Amirul Azhan pada masa kecederaan.

Persembahan terbaik Okabe sebenarnya sudah dijangka selepas dia dilaporkan menjadi seorang daripada pengadil berpengalaman yang pernah mendapat lencana pengadil kelas tertinggi daripada Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) pada 2006.

Post a Comment

0 Comments