Malaysia dalam kumpulan maut kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023


PASUKAN Malaysia diletakkan dalam kumpulan G selepas Undian Pusingan kedua Piala Dunia Qatar 2022 dan Piala Asia 2023 di Rumah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), di Bukit Jalil. - Foto BERNAMA

Malaysia dalam kumpulan maut kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023



"Jangan suka sangat! Itu kesimpulan ringkas untuk menjelaskan peringatan pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe kepada barisan pemain yang bakal dipanggil untuk membawa cabaran negara pada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, bermula 5 September ini.

Pada undian yang dilangsungkan di Rumah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), di Bukit Jalil, dekat sini, sebentar tadi, mau Malaya menghuni Kumpulan G bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Sambil mengakui terkejut dengan undian yang disifatkan sebagai 'Mini Piala AFF', Cheng Hoe akur yang Thailand, Vietnam dan Indonesia juga gembira dengan situasi itu.

"UAE adalah pasukan terbaik dalam kumpulan ini. Semua orang tidak jangka kita dapat kumpulan ini dan saya rasakan ia bukan kumpulan yang senang untuk dihadapi.

"Negara seperti Thailand dan Asia Tenggara lain juga mungkin turut gembira dengan kumpulan ini. Memang satu kejutan kerana kita tidak jangka yang ada empat negara Asia Tenggara... tidak ubah seperti 'mini AFF'.

"Yang penting pemain kena bersedia kerana kita akan bermain menentang Indonesia pada perlawanan pertama," katanya ketika ditemui selepas tamat undian.

Selepas aksi pertama menentang Indonesia, Harimau Malaya bakal menerima kunjungan UAE pada 10 September, sebelum menamatkan pusingan pertama dengan berkunjung ke Vietnam, 10 Oktober.

Berdasarkan perkiraan atas kertas, peluang skuad Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 secara merit boleh dianggap cerah kerana hanya perlu berada pada kedudukan kelompok empat naib juara terbaik bagi mengiringi lapan juara setiap kumpulan ke pusingan akhir.

Dalam masa sama, Cheng Hoe mengharapkan pemain utama tidak mengalami kecederaan serius sepanjang bersama kelab masing-masing mengharungi Liga Malaysia (Liga M) bagi memastikan segala perancangan yang bakal diatur dapat dilaksanakan dengan sempurna.

"Apabila berada dalam kelompok Asia Tenggara, kita tidak akan mengharungi perjalanan yang jauh dengan jurang beza masa yang sedikit. Tetapi persediaan pasukan adalah cukup penting.

"Apabila bermain di kelayakan, semua pasukan dan jurulatih mahu dapatkan keputusan terbaik. Dalam masa sama, walaupun kecederaan boleh berlaku, saya berharap pemain utama tidak cedera serius sepanjang aksi Liga M," katanya.

KEPUTUSAN UNDIAN

KUMPULAN A - Guam, Maldive, Filipina, Syria, China

KUMPULAN B - Australia, Jordan, Taiwan, Kuwait, Nepal

KUMPULAN C - Iran, Iraq, Bahrain, Hong Kong, Kemboja

KUMPULAN D - Arab Saudi, Uzbekistan, Palestin, Yaman, Singapura

KUMPULAN E - Qatar, Oman, India, Afghanistan, Bangladesh

KUMPULAN F - Jepun, Republik Kyrgyz, Tajikistan, Myanmar, Mongolia

KUMPULAN G - UAE, Vietnam, Thailand, MALAYSIA, Indonesia

KUMPULAN H - Korea Selatan, Lubnan, Korea Utara, Turmenistan, Sri Lanka


----bharian

Post a Comment

0 Comments