EPL perkenal peraturan baharu musim 2019/2020



EPL perkenal peraturan baharu musim 2019/2020


Liga Perdana Inggeris (EPL) memperkenalkan peraturan baharu yang menyaksikan rekod pertemuan diambil kira untuk kali pertama dalam saingan musim 2019/2020.

Perubahan itu membabitkan rekod pertemuan dua pasukan bagi menentukan kedudukan pasukan yang terikat disebabkan mata, perbezaan gol dan jaringan yang sama.

Pada saingan sebelum ini, pasukan terikat dalam situasi seperti itu akan ditentukan menerusi play-off tetapi peraturan baharu itu bermakna tiada perlawanan tambahan diperlukan.

Ia digunakan untuk pertama kali sekiranya dua pasukan menamatkan saingan liga dengan jumlah mata, perbezaan gol dan gol dijaringkan sama tetapi akan dipisahkan oleh pasukan yang mengumpul jumlah kemenangan terbanyak menerusi rekod pertemuan mereka sebelum itu.

Jika kelab terbabit masih tidak dapat dipisahkan, pasukan yang akan menjaringkan gol paling banyak di tempat lawan dalam rekod pertemuan mereka akan mendapat posisi tertinggi dan dikira sebagai juara. – AGENSI

Post a Comment

0 Comments