Tambadau miliki lebih dari 11 pemain sandaran

Tambadau miliki lebih dari 11 pemain sandaran


JELIUS semasa mengendalikan latihan terakhir di Kompleks Sukan Kota Kinabalu pada Isnin.

Tambadau Sabah miliki lebih dari 11 pemain yang boleh disandarkan sebagai kesebelasan utama untuk tidak merisaukan ketiadaan beberapa pemain.

"Esok (hari ini) kita akan kehilangan khidmat Jipun (Rawilson Batuil) kerana menjalani penggantungan dua permainan manakala kedudukan Azizan (Nordin) samar ekoran kecederaaan yang dialami ketika menentang Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

"Bagaimanapun ketiadaan satu atau dua pemain ini bukan masalah kerana kami ada lebih dari 11 pemain yang boleh disandarkan sebagai kesebelasan utama. Pasukan tidak bergantung kepada seorang individu kerana ini adalah permainan berpasukan.

"Setiap pemain mempunyai peranan dan kita gabungkan kebolehan mereka untuk mengemudi pasukan kita secara berpasukan," kata ketua jurulatih Tambadau, Jelius Ating ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perlawanan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Hang Jebat, Melaka malam ini di mana Tambadau tanpa khidmat Rawilson yang juga ketua pasukan dan salah satu tonggak pertahanan.

Tempat Rawilson yang digantung dua perlawanan ekoran telah mengumpul enam kad kuning akan diisi Mafry Balang.

Jelius yakin Mafry mampu menggalas tugas sebagaimana dalam beberapa perlawanan sebelum ini apabila diberikan tugas sama ketika ketiadaan Rawilson atau Park Tae Su.

"Sebelum ini, kalau Park tiada, Mafry akan bergandingan dengan Rawilson, kalau Rawilson tiada, Mafry bergandingan dengan Park dan prestasi pasukan tidak terjejas. Ketiga-tiga mereka ini sama sahaja," kata Jelius.

Mafry dan Park dijangka akan dibantu Randy Baruh dan Evan Wensley di kiri dan kanan. Jelius berkata, Randy yang diketepikan pada saat akhir ketika menentang Negeri Sembilan kerana tidak sihat akan mengambil semula tempatnya dari Dendy Lowa.


PASUKAN Tambadau sedang memanaskan badan sebelum latihan terakhir di Kompleks Sukan Kota Kinabalu pada Isnin. Gambar ihsan Media SAFA.

"Kecederaan Azizan pula tidak begitu serius tetapi dia tidak berlatih kelmarin (Isnin). Beliau bagaimanapun dalam senarai dan kita akan tengok keadaannya petang ini (kelmarin) dan pagi esok (hari ini).


"Kalau `ok', dia akan bermula sebagai kesebelasan, kalau tidak, akan bermula di bangku simpanan dan tempatnya akan diisi Ricco Nigel Milus," katanya.

Jelius berkata, Mafry, Randy, Dendy, Ricco dan beberapa pemain lagi juga adalah pemain kesebelasan tetapi kadang-kadang mereka bermula di bangku simpanan kerana hanya 11 pemain bermain dalam setiap perlawanan.

Azizan atau Ricco akan mengemudi bahagian tengah bersama Ahmet Atayev serta dibantu Jenius Karib dan Alto Linus di bahagian sayap manakala jentera serangan akan disandarkan kepada gandingan Rodoljub Paunovic dan Aguinaldo Mendes. Tugas penjaga gol utama dijangka terus dipikulkan kepada Rozaimie Rohim.

Robson Rendy, Mohd Azwan Fattah, Ummareng Bacok, Mohd Safar, Rahman Shah Marajeh dan Mazlan Yahya akan turut dibawa bersama dalam pasukan.

"Bukan tugas mudah walaupun kita menang 3-1 ke atas mereka pada pusingan pertama kerana PDRM telah menunjukkan peningkatan baik di pusingan kedua. Apapun, kami sudah bersedia dan akan berusaha sebaik mungkin membawa balik tiga mata penuh. Saya yakin ini boleh dicapai jika pemain dapat memberikan persembahan terbaik sebenar mereka.
"Belum dibolosi pada pusingan kedua dan kini berada di landasan terbaik memburu sasaran naik ke Liga Super musim depan adalah motivasi terbaik. Kami sedar bahawa kami perlu terus menang supaya peluang naik ke Liga Super itu tidak terjejas.
"Saya telah ingatkan pemain supaya tidak leka dan sudah merasa selesa dengan pencapaian setakat ini yang memang baik kerana masih ada enam baki perlawanan dan dalam tempoh ini banyak yang boleh berlaku.
"Bagi saya, selagi belum sah ke Liga Super atau belum dinobatkan sebagai juara, selagi itu kita belum berjaya. Oleh itu kami kena terus berkerja keras," katanya.

Tambadau kini di kedudukan kedua dengan 28 mata selepas 14 perlawanan manakala PDRM kini di tangga ketujuh dengan 18 mata. Dua perlawanan berlangsung semalam di mana pendahulu JDT II (29 mata) menentang Kelantan (10 mata) serta Negeri Sembilan (19 mata) menentang Selangor United (18 mata). Selain pertemuan antara Tambadau dan PDRM, dua lagi perlawanan berlangsung iaitu Sarawak menentang UKM FC dan UiTM FC menentang Pulau Pinang.

Post a Comment

0 Comments