Musim terbaik Sabah naik ke Liga Super 2020

Musim terbaik Sabah naik ke Liga Super 2020



Gambar pemain dan pengurusan SAFA selepas perlawanan.

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Peter Anthony mahu Sabah tidak ambil mudah peluang menjuarai Liga Perdana Malaysia 2019.

"Kami telah berkerja keras untuk sampai ke tahap sekarang. Banyak cabaran tetapi pasukan kini sudah di persada liga dan kita tidak mahu usaha ini tersia-sia pada lima perlawanan terakhir.

"Saya yakin gelaran juara dan sasaran naik ke Liga Super musim depan boleh dicapai dengan syarat pemain terus berkerja keras," kata Peter ketika dihubungi, Khamis.

Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur antara yang datang menyaksikan Sabah menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-1 dalam saingan Liga Premier di Stadium Hang Jebat, Melaka dua hari lalu. Kemenangan yang memberikan mata ke-31 itu menyaksikan Sabah menduduki takhta liga musim ini.

"Kemenangan itu hasil kerja berpasukan dan semangat juang tinggi pemain.

"Tahniah kepada pengurusan, jurulatih, pegawai pasukan dan pemain. Jadikan kedudukan sekarang sebagai penyemarak semangat untuk terus berjuang dengan gigih mengharungi baki lima lagi perlawanan," katanya.

Pada perlawanan itu, Sabah ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Lee Chang Hoon pada minit ke-33. Sabah bangkit dengan dua gol pada babak kedua untuk keluar sebagai pemenang. Penyerang import, Rodoljub Paunovic menyamakan kedudukan pada minit ke-76 sebelum pemain sayap Alto Linus muncul wira menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-82.

Kemenangan itu menyaksikan Sabah merampas kedudukan teratas dari JDT II dengan kelebihan satu mata di samping kurang satu perlawanan. Perlawanan seterusnya adalah menentang Sarawak di Stadium Likas pada 26 Jun.

Post a Comment

0 Comments