Rusuhan guna senjata di Tawau: Enam ditangkap, tiga diburu polis

Rusuhan guna senjata di Tawau: Enam ditangkap, tiga diburu polis



Polis mengesahkan sudah menangkap enam suspek yang disyaki terlibat dengan kes merusuh menggunakan senjata di sini pada petang Sabtu. Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas berkata polis juga memburu tiga lagi suspek yang dipercayai turut terlibat di dalam insiden itu.

"Seorang lelaki membuat laporan polis pada Ahad dan mendakwa dirinya dipukul sekumpulan lelaki yang dikenali dengan sebatang kayu pada Sabtu.

"Kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 4 petang di Terminal Bas Jalan Stephen Tan (Sabtu) dan turut dirakam oleh orang awam," katanya, di sini pada Ahad.

Peter berkata pengadu turut menerima rawatan di hospital dan tidak mengalami kecederaan serius selain luka berukuran kira-kira satu sentimeter di telinga kirinya.


Menurutnya, siasatan awal menunjukkan kejadian berpunca akibat tindakan pengadu yang memutuskan rantai 'silver' milik salah seorang suspek.

"Semasa menunggu bas, pengadu yang dalam keadaan mabuk bertindak mendekati suspek di tandas awam sebelum menarik rantai 'silver' terbabit.


"Semasa terjadi pergaduhan, ramai yang cuba membantu meleraikan keadaan, tetapi berlaku pergaduhan beramai-ramai di antara rakan pengadu dan rakan suspek," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan kes itu dibuka mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek ditahan reman bermula pada Isnin. Terdahulu, kejadian itu mengundang kegemparan netizen susulan video berdurasi dua minit 12 saat yang memaparkan kejadian itu, menjadi tular di media sosial.

Post a Comment

0 Comments