Skandal FAS: SPRM akan buat siasatan

Skandal FAS: SPRM akan buat siasatan



Abdul Karim menjawab soalan pemberita pada sidang media hari ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan berhubung tuduhan pecah amanah melibatkan bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS).

"Buat masa ini saya belum mendapat perincian mengenai perkara ini. Kalau ada laporan mereka terlibat dengan rasuah, biarlah SPRM yang membuat siasatan.

"Harapan saya ialah, pasukan bolasepak Sarawak akan terus bermain dengan baik dan pihak yang menjaga pasukan ini janganlah bertelagah seperti ini sehingga dibawa ke mahkamah dan menjejaskan prestasi pemain-pemain kita," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas laporan akhbar memetik Presiden FAS Dato Posa Majais pada Ahad yang bertegas tidak akan memohon maaf dan menarik balik tuduhan pecah amanah beliau terhadap bekas Naib Presiden merangkap Setiausaha Agung FAS, Razali Dohlan.
Abdul Karim bagaimanapun menegaskan beliau akan menunggu laporan penuh mengenai perkara itu.

Posa pada Ahad mengeluarkan kenyataan itu dalam laman sesawang rasmi FAS bagi membalas tuntutan Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) itu pada sidang media pada Sabtu lepas.

Posa dalam kenyataan itu menyebut, pihak FAS menunggu tindakan susulan SPRM setelah menyerahkan bukti-bukti skandal pecah amanah Razali Dolhan pada 2017 kepada SPRM pada pagi Jumaat.

Tindakan ini adalah untuk membersihkan FAS daripada individu yang mempunyai agenda dan kepentingan peribadi terhadap persatuan berkenaan.

Razali menerusi peguamnnya, Dominique Ng pada Sabtu lepas memberitahu akan mengeluarkan surat tuntutan terhadap Posa hari ini untuk menarik balik tuduhan pecah amanah terhadapnya yang disiarkan di media sosial dan cetak dalam tempoh tujuh hari.

Menurutnya, tuduhan itu adalah tidak berasas dan ia jelas fitnah bertujuan mencemarkan nama beliau.----UTUSANBORNEO

Post a Comment

0 Comments