Sabah mencari pemain import baharu

Sabah mencari pemain import baharu



Tambadau Sabah akan memanfaatkan jendela perpindahan pemain yang mula dibuka 2 Mei untuk mendapatkan pemain import baharu. Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) Datuk Peter Anthony (gambar) mengesahkan perkara itu ketika dihubungi, di sini.

"Buat masa ini kita akan cari sekurang-kurangnya satu pemain import baharu bagi mengisi tempat Luka (Milunovic) yang akan kembali ke pasukan asalnya, Melaka United.

"Saya berharap kita akan dapat pemain import yang lebih baik dalam masa terdekat untuk memantapkan lagi pasukan menghadapi pusingan kedua," katanya.

Milunovic adalah antara pemain import baharu Sabah musim ini tetapi hanya sebagai pemain pinjaman dari Melaka United. Surat pelepasannya daripada Safa berkuatkuasa Selasa. Peter berkata, sudah ada beberapa calon import yang berminat menyarung jersi Tambadau Sabah tetapi mereka akan diuji terlebih dahulu bagi memastikan pasukan dapat yang terbaik.
"Kalau untuk perlawanan Sabtu ini (4 Mei), ianya mungkin sudah terlalu suntuk tetapi kita akan cuba agar pasukan kita lengkap semula dengan (empat) pemain import sekurang-kurangnya pada perlawanan kedua pusingan kedua," kata Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah.

Ditanya sama ada akan ada lagi pengambilan pemain baharu selepas ini, Peter berkata, ia bergantung kepada keperluan pasukan dan rekomendasi pengurusan serta jurulatih.

"Kalau ada sebarang tindakan yang boleh memantapkan lagi pasukan termasuk menggugurkan dan mengambil pemain baharu, ia wajar dipertimbangkan. Ini perkara biasa dalam bola sepak.

"Kita mahu yang terbaik buat pasukan terutama dalam mencapai sasaran utama kita musim ini iaitu naik ke Liga Siper musim depan. Kita sudah separuh jalan ke arahnya dan saya berharap pasukan dapat meneruskan rentak baik sepanjang pusingan kedua ini," katanya.


Peter berkata, sementara usaha dilakukan mendapatkan pemain import baharu, tumpuan akan diberikan kepada perlawanan pertama pusingan kedua menentang Selangor United di Stadium Likas Sabtu ini.

"Saya fikir ketiadaan Luka (Milunovic) tidak menjejaskan pasukan walaupun kita mungkin belum dapat penggantinya Sabtu ini. Perlawanan terakhir (menentang UKM) pun kita bermain tanpa Luka dan menang (3-1).

"Oleh itu kita mengharapkan kemenangan itu dapat diteruskan. Saya yakin pasukan dapat melakukannya," katanya.

Tiga import lain Tambadau Sabah ialah Park Tae Su (pertahanan) dan dua penyerang iaitu Luiz Carlos Junior dan Rodoljub Paunovic.

Tambadau Sabah akan memulakan pusingan kedua di tangga ketiga selepas menamatkan pusingan pertama dengan 18 mata dari lima kemenangan dan tiga seri (Sabah kalah dua lagi perlawanan) manakala UiTM di tangga kedua dengan 20 mata sementara JDT II mendahului dengan 24 mata. Di tangga keempat ialah Terengganu FC II dengan 16 mata manakala Selangor United di tangga kelima dengan 14 mata. Tempat ke Liga Super untuk pasukan dari Liga Premier diperuntukkan kepada dua pasukan teratas.

Kedudukan

P M S K J B MT
1. JDT II 10 7 3 0 17 5 24
2. UiTM FC 10 6 2 2 23 11 20
3. Sabah 10 5 3 2 19 12 18
4. TFC II 10 4 4 2 10 9 16
5. Selangor Utd 10 4 2 4 11 12 14
6. N Sembilan 10 3 4 3 11 13 13
7. UKM FC 10 2 3 5 10 15 9
8. PDRM 10 2 3 5 7 12 9
9. Sarawak 10 2 2 6 9 16 8
10. P Pinang 10 2 2 6 9 16 8
11. Kelantan 10 2 4 4 13 18 7



Post a Comment

0 Comments