KUOTA TIKET DIPERKENALKAN
Beberapa kelab penyokong bola sepak tempatan menyokong pendekatan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memperkenalkan kuota tiket bagi penyokong pasukan pelawat untuk aksi Liga Malaysia (Liga M) berkuatkuasa Jumaat lalu.
Wakil penyokong Pahang yang juga Pengerusi Laksamana Tok Gajah, Mohd Jusri Abd Kadir menjelaskan, peraturan baharu diperkenalkan itu bukan saja memeriahkan lagi industri bola sepak tempatan tetapi turut memberikan jaminan penyokong pasukan pelawat hadir ke stadium lawan.
"Sebagai peminat, sudah pasti kami mahu mengikuti pasukan kami ke setiap venue untuk memberikan sokongan dan usaha dilakukan MFL ini seharusnya diberikan penghargaan yang mana kami sebagai penyokong berasa dihargai.
"Penyokong pasukan pelawat tidak perlu lagi beli tiket daripada 'ulat' yang sudah pasti harganya lebih mahal daripada tiket penyokong pasukan tuan rumah kerana kuota itu diwajibkan kepada setiap penyokong pelawat," katanya.
Terdahulu, MFL dalam satu kenyataan menjelaskan pasukan tuan rumah wajib memperuntukkan minimum 300 tiket bagi stadium dengan kapasiti di bawah 20,000 tempat duduk, minimum 500 tiket bagi stadium antara 20,000 sehingga 40,000 tempat duduk dan minimum 1,000 tiket bagi stadium lebih dari 40,000 tempat duduk.
Malah, MFL juga membenarkan kenaikan maksimum 20 peratus daripada harga tiket asal penyokong pelawat selepas MFL menetapkan peraturan kepada pasukan tuan rumah untuk memperuntukkan sejumlah tiket minimum kepada penyokong pasukan pelawat.
Namun, kenaikan harga tiket itu tetap tertakluk kepada pasukan tuan rumah sama ada mahu melaksanakan atau mengekalkan harga asal.
Sementara itu, Setiausaha Kelab Seladang, Ahmad Razmi Kamaruddin turut menyambut baik cadangan terbabit.
“Kuota ini adalah satu perkara bagus dan kami sebagai kelab penyokong menyambut baik usaha MFL ini yang mana saya percaya senario bola sepak tempatan akan menjadi lebih meriah.
"Dalam perkembangan sama, Presiden Anak Selangor Fan Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid mengakui mereka semakin bersemangat untuk turun ke setiap venue pasukan lawan selepas MFL memperkenalkan peraturan mewajibkan kuota kepada penyokong pasukan pelawat.
"Sebelum ini kami di ASFC hadapi kesukaran di beberapa venue kerana tiada peruntukan tiket khas kepada penyokong lawan dan ada kalanya tidak dapat saksikan perlawanan kerana tiada tiket.
"Mengenai langkah menetapkan kenaikan harga tiket sebanyak 20 peratus maksimum kepada penyokong lawan, kami tiada masalah untuk menerimanya asalkan hak kami sebagai penyokong terjamin selain kawalan keselamatan yang lebih baik ketika berada di stadium," katanya.
0 Comments