Cabaran Orang Kuat Gunung Kinabalu
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20190410/okranaucopy.jpg)
AHLI Parlimen Ranau Jonathan Yasin (tengah) bersama Roger (kiri) dan Othoe.
Gelaran `Orang Kuat Gunung Kinabalu' akan `ditabalkan' sempena dengan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Ranau 2019 pada 3-4 Mei depan. Penyandang gelaran itu akan ditentukan menerusi Cabaran Terbuka Orang Kuat Gunung Kinabalu (Mount Kinabalu Strongestman Open Challenge 2019) di perkarangan Dewan Masyarakat Ranau.
Cabaran julung kali di Ranau itu adalah anjuran Pejabat Ahli Parlimen Ranau dan diselaras Borneo Extreme Events dengan kerjasama Radio Atukoi FM. Penyelaras Pertandingan Roger Frederick berkata, penyertaan masih terbuka dan beliau menjangkakan ianya disertai sekitar 25 peserta dari dalam dan luar negeri.
"Saya yakin acara ini akan mencuri tumpuan kerana ia julung kali diadakan di Ranau. Ia adalah satu lagi daya tarikan di samping acara lain yang biasa diadakan sempena Pesta Kaamatan seperti Unduk Ngadau dan Sugandoi. "Terima kasih kepada Pejabat Ahli Parlimen Ranau terutamanya wakil rakyat Jonathan Yasin kerana menyokong penuh acara ini," kata Roger ketika ditemui di sini, Rabu.
Menurutnya, selain peserta tempatan Sabah, cabaran itu dijangka akan turut menarik penyertaan dari Labuan, Sarawak, Semenanjung dan Brunei. "Pertandingan bagaimanapun hanya untuk kategori lelaki dengan berat badan 95kg ke bawah," kata Roger.
Peserta akan mengharungi beberapa cabaran klasik sukan lasak itu seperti Atlas Stone, Farmers Walk, Yoke Walk, Tyre Flip, Car Deadlift, Log Press, Truck Pull, Giant Dumbbell, Hercules Holds dan Hercules Hug. "Pertandingan akan berlangsung selama dua hari dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Kami mengalu-alukan penyertaan orang muda negeri ini terutamanya dari sekitar Ranau," katanya.
Sambil itu, Jonathan juga mengalu-alukan penganjuran cabaran itu yang dilihatnya memberi nilai tambah kepada Pesta Kaamatan sekaligus industri pelancongan di Ranau terutama dengan kehadiran penyertaan dari luar negeri.
Juara akan menerima hadiah wang tunai RM2,000; kedua RM1,500; ketiga RM1,000; keempat RM700; kelima RM500; keenam RM400; ketujuh RM300 dan kelapan RM200. Tiga pemenang teratas juga akan menerima trofi dan sijil manakala pingat dan sijil untuk pemenang tempat keempat hingga kelapan. Keterangan lanjut mengenai cabaran itu termasuk urusan penyertaan diminta menghubungi Roger (016-8800097).
0 Comments