SEKOLAH LUAR BANDAR CATAT SEJARAH ATASI PENCAPAIAN SEKOLAH BANDAR SPM SABAH 2018

SEKOLAH LUAR BANDAR CATAT SEJARAH ATASI PENCAPAIAN SEKOLAH BANDAR SPM SABAH 2018


Mistirine (barisan hadapan, tengah) bergambar bersama pelajar cemerlang SPM 2018 dan Pegawai PPD yang menerima sijil kecemerlangan masing-masing di Dewan SM Lok Yuk Likas, Kota KInabalu. – Gambar SNT / Sitti Nor Azizah Talata

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sabah tahun ini melakar sejarah baharu apabila peratusan kelulusan sekolah luar bandar mengatasi pencapaian sekolah bandar iaitu 0.99 peratus.

Dalam peperiksaan SPM tahun lalu, jumlah keseluruhan sekolah di negeri ini yang terlibat dalam peperiksaan SPM ialah sebanyak 214 buah dengan masing-masing 61 sekolah di bandar mencapai kelulusan 87.19 peratus manakala 153 sekolah luar bandar pula 88.18 peratus.

Pengarah Pendidikan Sabah, Mistirine Radin berkata faktor kejayaan itu terhasil daripada program guru interim dua tahun lalu yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan di Sabah khususnya melibatkan sekolah-sekolah luar bandar.

Pelajar cemerlang SPM 2018 ceria selepas menerima sijil kecemerlangan masing-masing sempena pengumuman SPM 2018 di Dewan SM Lok Yuk Likas, Kota KInabalu. – Gambar SNT / Sitti Nor Azizah Talata

Menurut beliau pelantikan dan penempatan guru-guru interim adalah 100 peratus terdiri daripada rakyat Sabah dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah diberikan kebenaran oleh Kementerian Pendidikan untuk melantik guru interim berdasarkan opsyen mata pelajaran.

“Kami telah meneliti beberapa faktor kejayaan sehingga berlaku peningkatan dalam keputusan SPM tahun lalu itu dan kami dapati ia adalah hasil gerak kerja program guru interim.

“Kebanyakan guru-guru interim itu diletakkan di sekolah luar bandar untuk memenuhi keperluan guru di kawasan berkenaan dan ia juga banyak bergantung kepada kecukupan dan kemahiran guru sekaligus memberikan impak pencapaian pelajar,” katanya.

Pelajar SMK St. Patrick Tawau, Carolina Lee Pei Qian (tengah) yang mendapat 10A+ ditemani kedua ibu bapanya gembira selepas diumumkan sebagai Pelajar Terbaik 2018 bagi kategori 10 Mata Pelajaran. – Gambar SNT / Sitti Nor Azizah Talata

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 di Dewan Sekolah Menengah (SM) Lok Yuk Likas, Kota Kinabalu di sini hari ini.

Mistirine berkata pihak jabatan khususnya sektor pengurusan akademik turut melaksanakan sesi Dialog Prestasi Berfokus kepada sekolah khususnya dalam kalangan guru dengan menekankan subjek yang mempunyai prestasi menurun selain terus fokus untuk meningkatkan subjek lain.

Terdahulu semasa mengumumkan keputusan itu, MIstirine berkata pencapaian Gred Purata Negeri GPN 2018 adalah 5.44 berbanding 5.51 pada 2017 iaitu peningkatan 0.07 peratus.

“Daripada segi peratus kelulusan juga meningkat 2.33 peratus atau 88.53 peratus pada 2018 berbanding 86.20 peratus pada tahun sebelumnya.

“Bilangan calon yang lulus semua mata pelajaran sekurang-kurangnya gred E dalam mata pelajaran yang diambil ialah seramai 17,420 orang iaitu 51.68 peratus berbanding 17,217 (50.88 peratus) pada 2017, dengan seramai 152 calon cemerlang memperolehi Gred A,” katanya.

Mengenai pencapaian mata pelajaran teras SPM 2018, beliau memberitahu tiga daripada tujuh mata pelajaran menunjukkan peningkatan daripada segi kualiti dalam peperiksaan itu.

Gred purata bagi tiga mata pelajaran itu ialah Bahasa Inggeris yang meningkat daripada 6.70 pada 2017 kepada 6.80 tahun lalu, Pendidikan Islam 5.06 (2017) kepada 5.17 (2018) dan Matematik 6.08 (2017) kepada 6.12 pada 2018.

Selain itu sebanyak 14 buah Sekolah Cemerlang SPM 2018 direkodkan bagi negeri ini dengan Sekolah Menengah (SM) Sains Sabah, Kota KInabalu mendahului sekolah-sekolah lain diikuti SMK St. Michael Penampang dan SM Sains Lahad Datu, Lahad Datu.

Dalam peperiksaan SPM kali ini, sebanyak tujun buah sekolah mencapai prestasi membanggakan apabila dipilih sebagai Sekolah Lonjakan Terbaik SPM 2018.

Sekolah tersebut ialah SMK Wallace Bay, Tawau; SMK Taman Tun Fuad, Kota KInabalu; SMK St. Mary, Sandakan; SMK St. Patrick Beaufort; SMK Timbua, Ranau; SMK St. Michael Penampang dan SMK Ulu Sugut, Ranau. – SabahNewsToday

Post a Comment

0 Comments