5 tahun tunggu berbunga



ORKID Harimau perlu menunggu malah ada yang mengambil masa sehingga lima tahun untuk berbunga. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

5 tahun tunggu berbunga



Kaedah penjagaannya tidak sukar dan sama seperti orkid lain, namun untuk melihat ia berbunga, perlu menunggu malah ada yang mengambil masa sehingga lima tahun.









Bagaimanapun apabila tiba waktunya, kecantikan bunga tumbuhan liar iaitu orkid harimau dikatakan hanya dapat dinikmati kira-kira sebulan lebih sebelum ia gugur dan menunggu untuk berbunga kembali.










Keunikan pokok orkid harimau menghiasi landskap Taman Botani Putrajaya, Presint 1 kini mekar berbunga dan boleh dilihat pengunjung ke taman berkenaan.Jurucakap Taman Botani Putrajaya berkata, spesis berkenaan ditanam di taman awam itu sejak 18 tahun lalu dan kali terakhir ia berbunga pada 2016.



Katanya, orkid harimau berkenaan dilihat mula berbunga sejak awal bulan ini dan masih ada lagi pokok yang belum mengeluarkan kelopak bunga sepenuhnya.



“Pokok orkid harimau dikatakan berbunga lima tahun sekali tetapi kadangkala tidak tentu juga. Ada juga berbunga selepas dua tahun dan ada juga peminat bunga yang menanamnya tetapi langsung tidak berbunga.



“Uniknya orkid ini kerana saiznya yang besar berbeza dengan orkid lain malah penjagaannya mudah kerana keperluan cahaya mataharinya tidaklah secara terus dan perlu sedikit redup,” katanya ketika ditemui di Taman Botani Putrajaya, hari ini.



Difahamkan batang orkid harimau boleh membesar sehingga tiga meter, manakala daunnya boleh mencecah 60 sentimeter panjang dan tiga sentimeter lebar.



Pengunjung, Azmah Azhari, 32, yang beriadah di taman itu bersama suami, Mukmin Rusli, 32, serta dua anaknya berkata, dia pertama kali melihat pokok orkid harimau.



“Kebiasaannya pada hari minggu, kami sekeluarga akan beriadah di taman dan selepas melihat bunga ini, suami memaklumkan ada terbaca menerusi Facebook Perbadanan Putrajaya (PPj).



“Suami beritahu ia berbunga lima tahun sekali dan kami bertuah berpeluang melihat bunga orkid harimau ini,” katanya.

Post a Comment

0 Comments